OIC diminta suarakan nasib etnik Uighur di China

Gambar fail menunjukkan sejumlah lelaki etnik Uighur meninggalkan sebuah masjid di Hotan, wilayah Xinjiang pada tahun lalu. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan sejumlah lelaki etnik Uighur meninggalkan sebuah masjid di Hotan, wilayah Xinjiang pada tahun lalu. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Kumpulan-kumpulan Islam Amerika Syarikat (AS) semalam meminta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menyuarakan isu mengenai sebahagian etnik Uighur yang dipenjarakan di China.

Ia turut menuduh badan global itu bersubahat dalam perbuatan yang dianggap sebagai satu tindakan pembersihan etnik telah dilakukan di negara tersebut.

Kumpulan OIC disertai 57 buah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam dan kerap mengetengahkan kes-kes yang dianggap memberikan layanan salah terhadap umat Islam, mengkritik Israel dan India berikutan permintaan Pakistan.

Namun, ibu pejabat kumpulan itu yang terletak di Arab Saudi tidak menyuarakan kebimbangan mengenai nasib etnik berkenaan di wilayah barat China iaitu Xinjiang.

Wilayah itu didiami oleh lebih sejuta etnik Uighur dan lain-lain penduduk Islam yang kebanyakannya bercakap dalam bahasa Turki.

Kebanyakannya didakwa ditahan di dalam kem-kem sebagai sebahagian daripada usaha untuk menghapuskan nilai-nilai keislaman dan dipaksa menyepadukan mereka dengan komuniti di negara tersebut.

Pada Mac 2019, resolusi OIC menyatakan ia menerima dengan baik usaha Republik China menyediakan penjagaan ke rakyat yang beragama Islam selepas satu delegasi melawat negara berkenaan.

Satu perikatan pertubuhan Muslim AS termasuk Majlis Hubungan Amerika-Islam menuduh anggota-anggota OIC hanya takut dengan China.

Artikel Berkaitan:

"Adalah jelas bahawa China mempunyai kekuatan ekonomi di dunia Islam dan mampu untuk meminggirkan setiap negara Muslim dan menjadikannya takut dalam kes mengenai Uighur," kata Omar Sulieman iaitu seorang aktivis serta cendekiawan Muslim Amerika pada satu sidang akhbar secara maya.

Seorang pejuang nasib etnik Uighur, Rushan Abbas mendakwa: "China mempunyai rekod membuli. Pembersihan etnik Uighur bukan hanya merupakan isu dalaman China tetapi ia adalah isu kemanusiaan."

AS yang kini bermusuhan dengan China telah mengaitkan layanan ke atas etnik tersebut adalah hampir sama dengan cara Nazi Jerman memberikan layanan terhadap kaum Yahudi selain menyuarakan kekecewaan terhadap OIC yang tidak menyuarakan isu tersebut.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan merupakan pemimpin dari dunia Islam yang telah mengkritik China berhubung isu berkenaan manakala Malaysia pula menyatakan ia tidak akan mengekstradisikan etnik Uighur ke negara tersebut.

China pula menganggap kem-kem etnik tersebut sebagai pusat latihan vokasional dan menyatakan bahawa seperti negara-negara Barat lain, ia berusaha untuk mengurangkan aktiviti ekstremis di negaranya. - AFP