Pegawai wanita pertama TLDM jadi Laksamana Pertama

Kapten Rohana Jubri pegawai wanita pertama TLDM dinaikkan pangkat Laksamana Pertama ketika Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan TLDM di KD Sri Gombak hari ini. - Foto Bernama
Kapten Rohana Jubri pegawai wanita pertama TLDM dinaikkan pangkat Laksamana Pertama ketika Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan TLDM di KD Sri Gombak hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mencipta sejarah baharu apabila buat pertama kalinya seorang pegawai wanitanya iaitu Kapten Rohana Jupri, 57, telah dinaikkan pangkat sebagai Laksamana Pertama.

Dalam satu kenyataan hari ini, TLDM memaklumkan bahawa kenaikan tersebut telah dijayakan pada Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan TLDM yang disempurnakan Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

Beliau berkata, pemakaian pangkat Laksamana Pertama oleh Rohana itu telah meletakkan beliau berdiri sama tinggi bersama barisan tertinggi TLDM dalam Jawatankuasa Laksamana (JLAKS) yang sebelum ini dipelopori oleh pegawai lelaki.

“JLAKS memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju TLDM dan kehadiran beliau sebagai ahli JLAKS pastinya mewakili golongan wanita TLDM dalam membuat keputusan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kenaikan pangkat tersebut juga membuktikan bahawa pegawai tertinggi TLDM mengiktiraf kemampuan dan kredibiliti anggota dan pegawai wanita pasukan keselamatan itu.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Timbalannya, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob (kiri) beramah mesra bersama Laksamana Pertama Kapten Rohana Jubri (kanan) ketika Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di KD Sri Gombak hari ini. - Foto Bernama

“Ia juga sebagai tanda penghargaan TLDM terhadap usaha dan kemampuan yang ditunjukkan, sekali gus memberi tanggungjawab kepada beliau untuk melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh dedikasi dan cemerlang.

“Peranan golongan wanita dalam TLDM tidak dinafikan dan penyertaan mereka juga meliputi semua kepakaran utama iaitu bekalan, pelaut dan kejuruteraan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Rohana yang merupakan Pengarah Kanan Materiel di Markas Tentera Laut dan Asisten Ketua Staf (AKS) J4 (Logistik) di National Task Force (NTF) mula menyertai TLDM pada 20 Disember 1984.

Antara jawatan penting yang disandang beliau dalam TLDM ialah Pegawai Memerintah KD Sultan Abdul Aziz Shah, Pegawai Memerintah Depot Bantuan Barat, Pegawai Staf I Hal Ehwal Wanita ATM dan Pegawai Memerintah Depot Bekalan Armada Barat.