Suhakam seru kerajaan, syarikat lindungi hak pekerja migran

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyeru kerajaan dan syarikat perniagaan agar mempromosi serta melindungi hak pekerja migran di seluruh negara selaras dengan piawaian antarabangsa hak asasi manusia.

Suhakam dalam satu kenyataannya sempena Hari Migran Antarabangsa berkata, pihaknya telah menerima banyak aduan mengenai dakwaan pencabulan hak asasi manusia yang dihadapi oleh pekerja migran.

Menurutnya, keadaan pekerja migran di seluruh negara terutamanya mereka yang tidak memiliki dokumen telah menjadi lebih teruk dengan berlakunya krisis wabak Covid-19.

“Pada Julai tahun ini, Kementerian Sumber Manusia telah menyatakan bahawa terdapat kira-kira 2.1 juta pekerja migran memiliki dokumen di negara ini. Walau bagaimanapun, tiada data yang jelas mengenai jumlah pekerja migran yang tidak memiliki dokumen di negara ini.

“Bagaimanapun akibat daripada wabak ini, ramai pekerja migran kehilangan kerja dan sumber pendapatan serta mengalami cabaran untuk mendapatkan rawatan perubatan, makanan serta keperluan lain.

“Pekerja migran tidak mempunyai akses kepada bantuan kerajaan dan bekalan makanan kerana ia hanya diberikan kepada warganegara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Suhakam berkata, keadaan kebanyakan pekerja migran yang lazimnya tinggal di rumah kongsi yang sesak juga telah meningkatkan risiko mereka untuk dijangkiti Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Suhakam
Suhakam

Jelasnya, walaupun kerajaan telah menyediakan saringan kesihatan percuma kepada mereka, namun kebanyakan daripada migran yang tidak memiliki dokumen masih enggan tampil untuk menjalani rawatan kesihatan kerana bimbang ditangkap oleh pihak berkuasa.

Pada masa sama, Suhakam turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima pakai Pelan Strategik 2021-2025 dalam usaha untuk menambah baik hak ekonomi, sosial dan budaya (ESCR) golongan rentan di Malaysia, termasuk pekerja migran.

“Berdasarkan pelan strategik ini, Suhakam akan melaksanakan beberapa aktiviti seperti semakan semula undang-undang yang berkaitan.

“Selain itu, Suhakam juga akan menjalankan kajian dan aktiviti promosi untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu ESCR yang memberi kesan terhadap golongan rentan di negara ini,” katanya.