Mahkamah saran kes elak cukai Rosmah didengar hakim lain

Rosmah - Foto fail Bernama
Rosmah - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Hakim Mahkamah Tinggi yang mengendalikan kes pengubahan wang haram serta pengelakan cukai Datin Seri Rosmah Mansor hari ini mencadangkan agar prosiding kes itu dijalankan di hadapan hakim lain bagi membolehkan kes didengar lebih awal.

Hakim, Mohamed Zaini Mazlan membuat cadangan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Poh Yih Tinn memaklumkan kepada mahkamah akan perkembangan terkini kes rasuah Rosmah berhubung projek solar hibrid untuk sekolah di pedalaman Sarawak yang ditetapkan hujahan lisan pada 10 Februari depan selepas pihak pendakwaan menutup kes mereka pada 11 Disember lalu.

Mohamed Zaini: Kamu boleh menimbang untuk memindahkan kes ini kepada hakim lain jika kamu mahu memulakan perbicaraan lebih awal.

Poh: Saya perlu merujuk kepada TPR kanan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes pengubahan wang haram Rosmah didengar selepas kes rasuah

Mohamed Zaini: Sila timbangkan, tetapi mahkamah ini tidak ada masalah sekiranya mahu kes tersebut dikekalkan di sini. Kita akan tetapkan pengurusan kes seterusnya pada 25 Februari tahun depan, sementara menunggu pendakwaan menimbang cadangan saya.

Poh: Okey, saya akan bincangkan cadangan itu dengan (TPR Kanan) Datuk Seri (Gopal Sri Ram).

Peguam, Datuk Geethan Ram Vincent mewakili Rosmah, 69, yang mendapat pengecualian daripada menghadiri prosiding hari ini.

Artikel Berkaitan:

Pada 4 Oktober 2018, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Pertuduhan pengubahan wang haram itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan mengelakkan cukai pula dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menuntut Rosmah mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama. - Bernama