Dua lelaki ditahan memiliki senjata tajam

Mohd Taib
Mohd Taib
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan dua lelaki kerana memiliki senjata tajam dan dadah jenis syabu di Jalan Temenggong 10, Taman Ungku Tun Aminah, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, tangkapan kira-kira jam 1 pagi itu dilakukan selepas kedua-dua suspek diperiksa anggota polis yang sedang meronda di kawasan berkenaan.

Katanya, ketika kejadian suspek berusia 30 dan 36 tahun itu berada dalam sebuah kereta jenis Proton Saga yang diletakkan di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta tersebut telah menemui sebilah pisau potong daging dan satu paket kecil plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 0.21 gram.

"Suspek kemudiannya ditahan selain gagal mengemukakan pengenalan diri ketika itdiperiksa polis," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Taib berkata, saringan ujian air kencing yang dilakukan terhadap suspek mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis Methamphetamine.

Beliau berkata, siasatan lanjut juga mendapati suspek yang berusia 36 tahun juga mempunyai tiga rekod lampau membabitkan jenayah curi di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

"Kedua-dua suspek kini ditahan dan akan menjalani tempoh reman untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) 1958 dan Seksyen 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.