Kes rasuah: Lebih 100 dokumen diserah kepada pembelaan

Guan Eng
Guan Eng
A
A
A

BUTTERWORTH - Pihak pendakwaan telah menyerahkan lebih 100 dokumen kepada pasukan pembelaan bagi kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, isteri, Betty Chew Gek Cheng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Syafiq Hasim semasa pengurusan kes tersebut hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Syafiq berkata, beliau akan menyerahkan lima lagi dokumen berserta lebih 100 dokumen lain yang telah diserahkan sebelum ini dalam bentuk salinan bercetak seperti yang diminta oleh pihak pembelaan.

Peguam RSN Rayer yang mewakili Guan Eng dan isteri berkata, pihaknya tiada bantahan terhadap perkara tersebut dan memohon mahkamah menetapkan 19 Februari depan untuk sebutan kes seperti yang dipersetujui oleh pihak peguam dan pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 19 Februari 2021 untuk sebutan semula kes itu.

Turut hadir di mahkamah ialah peguam A Rueban yang mewakili Li Koon. Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh tidak hadir di mahkamah kerana mendapat pengecualian kehadiran.

Syafiq ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata lebih 100 dokumen yang telah diserahkan sebelum ini adalah dalam bentuk 'hard disk' (cakera keras).

Katanya, dokumen itu termasuk berkaitan mesyuarat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi projek perkampungan pekerja dan juga cek yang berkaitan dengan pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi tertuduh ketiga, Betty.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Kes Guan Eng hari ini 'ibu kepada semua pertuduhan'

Guan Eng berdepan dua lagi pertuduhan rasuah

Guan Eng, isteri didakwa rasuah, pengubahan wang haram

Beliau berkata, lima lagi dokuman yang akan diserahkan ialah berkaitan cek-cek, dan sekiranya kesemua dokumen telah lengkap kemungkinan tarikh perbicaraan akan ditetapkan pada prosiding kes akan datang.

Pada 11 Ogos lalu, Guan Eng didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), telah menggunakan kedudukan untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya, Betty melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Guan Eng dituduh melakukan kesalahan itu dengan cara mengambil tindakan memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan Sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang bernilai RM11,610,000 yang Betty secara tidak langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016, di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, di George Town, Pulau Pinang mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Li Koon pula didakwa telah bersubahat dalam pelakuan kesalahan oleh Guan Eng dalam melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama dan boleh dihukum di bawah seksyen dan hukuman serupa.

Betty didakwa atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM372,009 daripada syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd yang telah dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad miliknya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu pada tarikh berbeza, antara 7 Oktober 2013 dan 4 Ogos 2014; 3 September 2014 dan 11 Ogos 2015 serta 4 September 2015 dan 3 Mac 2016 di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melaka Raya, Melaka.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Guan Eng, 60, Betty, 56, dan Li Koon, 48, masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dihadapi mereka.

-Bernama