UMNO, BN tidak sertai PN: Asyraf Wajdi

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak menyertai parti dalam Perikatan Nasional (PN) sebagai salah satu parti komponen.

Beliau menegaskan, Majlis Tertinggi UMNO dan Dewan Tertinggi BN telah membuat keputusan jelas bahawa mereka hanya mendokong kerajaan PN sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Setakat ini parti PN hanya dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

“Manakala kerajaan PN adalah sebuah kerajaan yang ditubuhkan atas persefahaman 12 parti politik termasuk UMNO dan tiga parti komponen BN iaitu MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS); Gabungan Parti-Parti Sarawak (GPS) dan parti PN,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Perikatan Nasional tubuh Majlis Presiden

Penggubalan piagam antara parti antara perkara dipersetujui: Muhyiddin

Beliau berkata demikian bagi mengulas adakah UMNO dan BN telah merubah pendirian untuk menyertai parti PN.

Semalam, Sekretariat Setiausaha Agung Parti-Parti Dalam Kerajaan PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, parti-parti dalam kerajaan PN bersetuju sebulat suara menubuhkan Majlis Presiden Kerajaan Perikatan Nasional yang dianggotai oleh ketua-ketua parti masing-masing.

Menurutnya, penubuhan majlis tersebut adalah platform untuk membincangkan dasar-dasar kerajaan dan mengukuhkan kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan.

Asyraf berkata, Majlis Presiden Kerajaan PN sememangnya dicadangkan sejak awal oleh UMNO ketika pembentukan kerajaan PN pada Mac lalu tetapi ia hanya dilaksanakan kini.

Artikel Berkaitan:

“Tujuannya untuk memastikan apa jua dasar-dasar penting negara dibincangkan terlebih dahulu dengan rakan-rakan kongsi terdiri daripada parti-parti politik yang bersepakat membentuk kerajaan hari ini.

“Majlis Presiden Kerajaan PN mampu mengelakkan perbezaan dan pertelingkahan pandangan terhadap dasar-dasar penting diperkenalkan kerajaan seperti inisiatif kerajaan mahukan pengisytiharan darurat yang tidak dirujuk kepada UMNO hingga mencetuskan pergeseran dalam kalangan parti-parti dalam kerajaan PN,” katanya.

Selain itu, Asyraf berkata, Majlis Presiden Kerajaan PN juga boleh dijadikan platform untuk presiden parti-parti yang mendokong kerajaan PN menyuarakan pendirian parti secara rasmi untuk diambil kira dan tindakan.

“Sebagai contoh pendirian UMNO dan BN membawa suara rakyat dalam isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta moratorium,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pengagihan kerusi, Asyraf berkata, kerjasama UMNO dan BN dengan PN dalam PRU15 bergantung kepada soal persefahaman.

“Ini bermakna pengagihan kerusi tidak lagi berasaskan perbincangan UMNO dengan Pas tetapi BN dengan PN kerana Pas sudah secara rasmi menyertai PN sebagai parti komponennya,” tegasnya.