Wanita maut tergantung alami kemurungan

Laporan Sinar Harian pada 15 Disember lalu.
Laporan Sinar Harian pada 15 Disember lalu.
A
A
A

TUMPAT – Seorang wanita berusia 34 tahun yang ditemui mati tergantung di Machang, Selasa lalu dipercayai menghadapi masalah kemurungan dan mempunyai rekod terlibat dengan dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, mengikut siasatan yang dijalankan pihaknya, wanita tersebut didakwa memang mempunyai masalah kemurungan selepas bercerai dengan suaminya.

“Apabila bercerai, dia ada masalah kemurungan dan ada rekod terlibat dengan dadah.

"Jadi mungkin ada masalah tidak dapat dia diatasi, maka dia ambil jalan mudah,” katanya kepada pemberita semasa sidang media Perasmian Taman Angkat Amanita di Taman SBJ Putra, Pasir Pekan di sini pada Khamis.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang lelaki yang mahu menghantar makanan kepada bekas isterinya terkejut apabila menemui wanita itu dalam keadaan tergantung di bahagian dapur rumahnya di Kampung Dusun Buruk Temangan di sini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Shafien memberitahu, pihaknya sedang mengenalpasti individu yang didakwa memberikan senapang jenis Rifel AK47 kepada sepasang suami isteri yang ditahan di sini, Ahad lalu.

Katanya, pihaknya kini giat menjalankan siasatan lanjut dan akan membuat tangkapan dalam waktu terdekat.

“Kami sudah hampir kenalpasti siapa. Insya-ALLAH dalam masa terdekat kita akan tangkap suspek ini,” katanya.

Sebelum ini, sepasang suami isteri tersebut ditahan kerana memiliki senapang jenis Rifel AK47 bersama 142 peluru yang dipercayai pernah digunakan untuk menambak mati dua gajah liar di Kampung Bahagia, Kuala Krai, dua tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Pasangan masing-masing berusia 50 tahun itu ditahan pada jam 3.10 pagi, Ahad lalu dan senapang tersebut dipercayai diperoleh hasil pemberian seorang rakan yang dikenali suspek dan tinggal di daerah berhampiran.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ditemui maut tergantung di dapur

Guna Rifel AK47 tembak mati dua gajah