Kawal perasaan apabila siar komen tentang isu kuil

Gobind Singh Deo
Gobind Singh Deo
A
A
A
SHAH ALAM – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo hari ini menasihati pengguna media sosial supaya mengawal perasaan apabila memberi komen tentang kekecohan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, dekat Subang Jaya, semalam.

Beliau berkata setiap rakyat negara ini perlu memainkan peranan bagi memastikan isu itu ditangani dengan sebaik mungkin dan sehubungan itu, mereka perlu lebih berhati-hati apabila memberi komen melalui media sosial bagi mengelak timbul masalah yang tidak diingini.

"SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) sentiasa memantau keadaan dan saya telah memberi taklimat kepada perdana menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) tentang keadaannya (isu kuil berkenaan)," katanya kepada pemberita selepas melawat anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, yang berada dalam keadaan kritikal di sebuah hospital swasta di Subang Jaya, hari ini.

Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, patah beberapa tulang rusuk serta lebam pada bahagian dada dan perut kerana didakwa dipukul beberapa orang yang terbabit dalam rusuhan itu.

Gobind berkata pergaduhan yang berlaku di kuil itu patut memberi pengajaran kepada setiap orang tentang perlunya meningkatkan perpaduan bagi memastikan keharmonian sentiasa terpelihara.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Insiden kuil: MMKN bermesyuarat petang ini ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: Rusuhan kuil: Polis tahan empat lelaki, rampas parang ]


Beliau juga mengingatkan petugas media supaya menjaga keselesaan keluarga mangsa dan menghormati privasi mereka, serta lebih berwaspada ketika menjalankan tugas masing-masing.

Gobind menyuarakan keyakinan beliau tentang kemampuan pasukan doktor yang merawat Muhammad Adib serta berdoa agar anggota pasukan bomba dan penyelamat itu cepat pulih.
Artikel Berkaitan:


Semasa lawatan itu, beliau juga bertemu dengan anggota keluarga dan tunang mangsa.

Kekacauan tercetus di kuil itu pada awal pagi Isnin susulan pergaduhan yang berlaku antara dua kumpulan, yang mengakibatkan beberapa orang cedera dan kenderaan dibakar.

Awal hari ini, keganasan terus berlaku dan beberapa kenderaan dibakar, menjadikan jumlah kenderaan yang dibakar ini sebanyak 23 buah setakat ini. Sebuah kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat juga mengalami kerosakan dalam kejadian hari ini.

Sehingga kini, polis menahan 21 orang bagi membantu siasatan. – Bernama