Calon PRK Semenyih: Mukhriz sahkan bukan Siti Nurhaliza

Mukhriz (tiga, kanan) menggaul Yee Sang bersama tetamu kenamaan.
Mukhriz (tiga, kanan) menggaul Yee Sang bersama tetamu kenamaan.
A
A
A

ALOR SETAR - Dakwaan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin bakal disenaraikan sebagai calon PRK Dun Semenyih mewakili PH, hanya sekadar khabar angin.

Perkara itu disahkan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mengesahkan nama Siti Nurhaliza tidak tersenarai sebagai calon.

Menurutnya, sama ada Siti Nurhaliza merupakan ahli parti itu juga tidak dapat dipastikan.

“Itu khabar angin sahaja, saya antara yang terlibat dalam proses penilaian dan pemilihan calon di Semenyih, nama beliau tidak ada setakat ini,” katanya pada sidang media, selepas majlis Tahun Baharu Cina bersama masyarakat Cina di Seri Mentaloon, hari ini.

Mukhriz berkata, pihaknya sendiri tidak tahu menahu mengenai penularan khabar angin itu.

“Tak tahulah, jika ada cadangan selepas ini. Setakat ini memang tiada,” katanya.

Mengulas sama ada benar Siti Nurhaliza sudah menyertai parti Bersatu, Mukhriz tegaskan, perkara itu tiada dalam pengetahuannya.

“Saya pun tidak pasti sama ada beliau ini ahli atau tidak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mukhriz berkata demikian ketika ditanya mengenai ura-ura Siti Nurhaliza bakal mewakili PH pada PRK Semenyih yang dijadualkan berlangsung 2 Mac depan.

Kelmarin, Siti Nurhaliza menerusi perkongsian di Facebooknya, menegaskan dirinya tiada kaitan dengan PRK berkenaan, sebaliknya memaklumkan hanya berkayuh basikal bersama suami dan rakan-rakan sekitar Semenyih.

PRK Semenyih diadakan selepas wakil rakyatnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia akibat serangan jantung, 11 Januari lalu.