Jangan ragui vaksin

Laporan muka depan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan yang mengatakan vaksin Covid-19 diperbuat daripada bahan tidak halal dan meragukan tidak seharusnya diperbesarkan kerana Islam sudah menyediakan panduan yang jelas berdasarkan al-Quran dan sunnah.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, keputusan dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan menjelaskan bahawa hukum harus bagi penggunaan vaksin dan perlu diterima kerana ia selari dengan kaedah pencegahan dianjurkan Islam.

“Ini kerana ia bukan hanya ditentukan pakar perubatan sebaliknya proses menimbang tara pandangan pakar hukum syarak untuk menentukan sesuatu vaksin itu boleh digunakan atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan kerajaan akan memantau rapi gerakan kumpulan tertentu yang menyebarkan propaganda negatif berkenaan vaksin Covid-19 menerusi media sosial untuk mengelakkan mereka mempengaruhi fikiran rakyat.

Mengulas lanjut tentang perkara tersebut, Wan Salim berkata, umat Islam perlu menerima vaksin tersebut demi menyelamatkan nyawa yang merupakan salah satu tuntutan yang diwajibkan oleh Islam.

“Kita disarankan supaya berikhtiar untuk mengelakkan sebarang penyakit. Ini termasuklah wabak yang cepat merebak seperti Covid-19,” ujarnya.

Beliau berkata, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) kali ke-10 pada 3 Disember lalu telah memutuskan vaksin yang bakal diterima itu nanti tidak diperbuat daripada bahan haiwan dan tiada unsur yang berasal daripada haiwan.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, sekiranya vaksin itu tidak mendatangkan kemudaratan kepada rakyat, maka hukumnya adalah harus.

Artikel Berkaitan:

“Seluruh mufti sudah membuat keputusan bahawa pengambilan vaksin Covid-19 ini hukumnya harus.

“Jadi, bagi mereka yang menentang dan menganggap ia meragukan, itu semua terserah kepada mereka. Jika apa-apa berlaku, mereka perlu menanggung risiko sendiri,” katanya.

Beliau berkata, pengambilan suntikan vaksin tersebut adalah penting bagi melindungi diri dan juga penjagaan kesihatan.