Covid-19: 12 daerah di Sabah masih zon merah

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 12 daerah di Sabah masih berada dalam zon merah dengan jumlah kes aktif positif Covid-19 masing-masing melebihi 40 kes.

Jurucakap rasmi Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, daerah berkenaan ialah Kota Kinabalu, Tawau, Penampang, Lahad Datu, Tuaran, Sandakan, Putatan, Papar, Kota Belud, Semporna, Kudat dan Keningau.

“Daerah Kunak bertukar dari zon hijau ke zon kuning apabila terdapat satu kes positif, manakala Nabawan satu-satunya daerah zon hijau di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, seramai 263 pesakit Covid-19 yang sembuh hari ini di Sabah dibenarkan keluar dari hospital berbanding 459 pesakit semalam.

Beliau berkata, jumlah itu menjadikan jumlah kumulatif sembuh di negeri ini seramai 31,005 orang.

"Sementara seramai 2,117 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 643 orang di hospital dan 1,474 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC)," katanya.

Masidi berkata, bilangan pesakit Covid-19 yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) ialah 58 orang dan 17 orang memerlukan alat bantuan pernafasan. - Bernama

Artikel Berkaitan: