X

Kindly register in order to view this article
!

Zoo Negara wajar dibantu

A
A

ZOO Negara antara sektor yang terjejas teruk selepas tidak dibenarkan beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Isu kekurangan dana kembali menghimpit pengurusan Zoo Negara selepas sekali lagi operasinya ditutup semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Penutupan tersebut ternyata memberi kesan kepada Zoo Negara bagi menampung segala kos. Hal ini kerana pendapatan Zoo Negara adalah bergantung kepada jualan tiket masuk, sewaan tempat acara, tajaan syarikat dan sumbangan orang ramai.

Demi kelangsungan dana, Zoo Negara telah mempergiat kempen ‘Adopt An Animal’ selain meminta bantuan disalurkan bagi mengurangkan beban tanggungan sekali gus menyelamatkan haiwan-haiwan yang ada daripada terus terbiar.

Ia boleh dibuat menerusi saluran menerusi Ticket2u: t2u.asia/e/18171; Lazada: t.ly/dQva; Shopee: www.shopee.com.my/digital-product/m/evoucher/brands/2481065.

Menerusi pakej adopsi itu, orang awam boleh menyumbang serendah RM25 sehingga RM1,000 atau lebih mengikut kadar yang diingini. Namun, orang ramai diingatkan untuk memastikan nama penerima adalah Zoo Negara sebelum menderma untuk mengelakkan sebarang penipuan.

Situasi kekurangan dana ini juga telah menarik perhatian beberapa pihak tampil menghulurkan sumbangan selain meningkatkan kesedaran awam untuk sama-sama membantu menyalurkan dana operasi Zoo Negara.

Ia termasuk pendakwah dan aktivis sosial, Ebit Lew yang menghulurkan sumbangan makanan 200 kilogram daging lembu dan 500 kilogram buah-buahan serta sayur-sayuran kepada haiwan di Zoo Negara.

Zoo Negara menerusi Facebooknya baru-baru ini turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli yang menyumbang RM1. 3 juta bagi sama-masa membantu mendepani krisis kewangan itu.

Ketiadaan dana jelas menyukarkan pengurusan Zoo Negara menampung kos operasinya yang secara purata mencecah RM1 juta sebulan. Kos ini termasuk gaji kakitangan, makanan serta penjagaan haiwan yang ditempatkan di bawah jagaan Zoo Negara.

Memetik kenyataan Pengarah Zoologi, Veterinar dan Pusat Konservasi Giant Panda Zoo Negara, Dr Mat Naim Ramli, kos bulanan itu meliputi pembayaran gaji kakitangan berjumlah RM400,000, keperluan makanan (RM350,000), bil elektrik (RM140,000) dan bil air sebanyak RM40,000.

Beliau menjelaskan, Zoo Negara yang diuruskan oleh Malaysian Zoological Society, pada awalnya sudah mula menunjukkan momentum pendapatan yang agak memuaskan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Jun lalu.

“Pada Jun, Zoo Negara merekodkan pendapatan sebanyak RM450,000, Julai (RM1 juta), Ogos (RM1.3 juta) dan September sebanyak RM850,000. Namun pada Oktober lepas kita hanya memperoleh RM150,000,” katanya.

Buat masa ini, Zoo Negara terpaksa bergantung kepada Tabung Kecemasan untuk membiayai segala kos operasi.

Melihat situasi semasa Covid-19 yang terus mencatatkan peningkatan kes saban hari, wajar langkah win-win situation difikirkan. Ia bagi memastikan Zoo Negara terus bernyawa dan pada masa sama Covid-19 terus dibendung.

Syarikat-syarikat besar yang tidak terkesan dengan Covid-19 sewajarnya membantu Zoo Negara dari aspek sumber kewangan supaya operasinya tidak terjejas dan haiwan yang berada di Zoo Negara terpelihara keadaannya.

Sumbangan kewangan perlu diberikan dengan kadar segera supaya ia dapat menampung keperluan yang sebelum ini terbatas akibat daripada pendapatan Zoo Negara yang berkurangan.

Di samping itu, kelonggaran yang diberikan kerajaan kepada orang ramai perlu dimanfaatkan dengan mengunjungi Zoo Negara supaya hasil kutipan tiket dapat memberi sinar kepada Zoo Negara.

Jika semua orang dapat memainkan peranan dengan membantu dengan melawat Zoo Negara, ia sedikit sebanyak dapat memulihkan kedudukan Zoo Negara dari aspek kewangan dan juga suasana ceria di Zoo Negara.

Kita semua sama ada orang perseorangan, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat-syarikat besar perlu memainkan peranan masing-masing dalam membantu menghidupkan kembali Zoo Negara yang merupakan aset bernilai kepada Malaysia.

* Norafiza Jaafar ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Selangor/KL


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!