Isytihar darurat di Gerik, Bugaya demi keselamatan rakyat

Gambar kecil: Dr Muhammad Fathi Yusof
Gambar kecil: Dr Muhammad Fathi Yusof
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengisytiharan Proklamasi Darurat di Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, adalah penting bagi menjamin keselamatan rakyat di kawasan tersebut terhadap ancaman penularan wabak Covid-19, menurut pakar perlembagaan.

Mereka berpendapat, pengumuman Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan itu menunjukkan keseriusan kerajaan dalam mengurangkan jurang penularan pandemik yang mampu menjejaskan ekonomi dan keselamatan rakyat.

Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, selepas mendapat pandangan daripada Kementerian Kesihatan, kerajaan sudah tentu telah memberi penjelasan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai potensi penularan wabak seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, September lalu.

Pakar perlembagaan daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, justeru wewenang Yang di-Pertuan Agong mengumumkan darurat itu semalam adalah tepat demi menjamin keselamatan rakyat di kedua-dua kawasan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong perkenan isytihar darurat di Parlimen Gerik, DUN Bugaya

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Seri Paduka bertitah demikian selepas memperhalusi penjelasan beliau yang menyembah maklum nasihat jemaah menteri berhubung perkara itu.

Justeru, PRK Gerik dan Bugaya yang dijadualkan 16 Januari 2021 dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.

Seorang lagi pakar perlembagaan dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, Proklamasi Darurat itu dibuat sebagai langkah pencegahan daripada ancaman lebih besar terhadap keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman negara.

Artikel Berkaitan:

“Pada ketika ini kita dapati penularan wabak Covid-19 masih berlaku, malah meningkat. Dua kawasan tersebut akan terlibat dengan PRK dan pengalaman lepas menunjukkan implikasinya akan wujud kluster-kluster baharu.

Wan Ahmad Fauzi percaya pengisytiharan itu pastinya melegakan petugas barisan hadapan yang sedang bertungkus lumus melakukan apa yang terbaik ketika kes pandemik itu kembali meningkat. - Bernama