Anak muda bantu tambah pengeluaran padi

Penglibatan golongan muda dilaksanakan menerusi aktiviti pertanian moden untuk meningkatkan pengeluaran padi. Gambar kecil: Ahmad
Penglibatan golongan muda dilaksanakan menerusi aktiviti pertanian moden untuk meningkatkan pengeluaran padi. Gambar kecil: Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penglibatan golongan muda dalam rantaian penanaman padi dan beras adalah antara tujuh pendekatan baharu dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Timbalan Menteri I MAFI, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, ia dilakukan melalui pelaksanaan pertanian moden untuk meningkatkan pengeluaran padi.

Menurutnya, secara purata keperluan tahunan beras bagi rakyat Malaysia adalah kira-kira 2.5 juta tan metrik manakala pengeluaran beras negara sekitar 70 peratus daripada keperluan tersebut.

“Jadi negara masih mengimport 700,000 hingga 900,000 tan metrik beras setiap tahun atau 30 peratus.

“Kementerian komited meningkatkan pengeluaran beras negara sehingga tahap sara diri SSL mencecah 75 peratus seperti yang digariskan dalam cadangan Kertas Strategi RMK12 bagi industri padi dan beras untuk mengurangkan import sebanyak 5 peratus,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Paul Igal di Dewan Rakyat.

Ahmad berkata lagi, kementerian juga memperkenalkan penggunaan teknologi moden dalam mekanisasi dan automasi.

Katanya, penggunaan jentera moden, berkeupayaan tinggi seperti dron dan jentuai mini dapat mengoptimumkan hasil dalam keseluruhan rantaian industri.

“Pendekatan Sawah Berskala Besar (SBB) iaitu melibatkan peranan entiti swasta sepanjang rantaian penanaman padi dan pengeluaran beras juga dilakukan.

Artikel Berkaitan:

“Kementerian juga melakukan peluasan kawasan jelapang padi dan menggunakan benih padi sah yang berkualiti,” katanya.

Terdahulu Paul mempersoalkan rancangan kementerian untuk meningkatkan pengeluaran beras negara.