X

Kindly register in order to view this article
!

Teknologi jamin bekalan makanan

A
A

SUDAH hampir setahun pandemik Covid-19 melanda dunia. Barangkali ramai masih ingat insiden panic buying atau pembelian panik apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Ada yang menghabiskan masa lebih lebih enam jam di pasar raya untuk membeli makanan.

Ada yang menjangkakan perintah darurat akan diperkenalkan. Ia bermakna makanan tidak mudah diperoleh.

Desas-desus tentang kesukaran untuk mendapatkan makanan sepanjang PKP menjadi berita ngeri kepada penduduk dunia ketika itu. Tidak dapat dinafikan sumber makanan memberi kelegaan kepada penduduk dunia sepanjang PKP atau lockdown angkara Covid-19.

Beberapa hari lalu, FoodNavigator-Asia.com, kumpulan penganalisis pembangunan teknologi makanan dan minuman di Asia Pasifik ditubuhkan Kumpulan William Read menyatakan betapa 2020 ialah tahun kerugian kepada dunia.

William Reed mencadangkan reformasi berbanding penghindaran. Ia bermakna keperluan makanan di Asia perlukan pemprosesan dan penyediaan pantas untuk mengelak terputus bekalan.

William Reed mencadangkan penyelidikan tentang teknologi pemprosesan dan pembungkusan makanan disegerakan bagi menjaga keselamatan, kesihatan awam dan jaminan pembekalan makanan. Dijangka desakan pasaran makanan akan meningkat secara mendadak dalam beberapa tahun mendatang.

Fortune Business Insight (FBI) baru-baru ini melaporkan ukuran pasaran global makanan formula bayi pada tahun bernilai AS$50.46 bilion (RM204.7 bilion) berbanding AS$109.1 bilion (RM442.1 bilion) pada 2027.

Ini bermaksud kadar pertumbuhan tahunan atau compound annual growth rate (CAGR) sebanyak 10.6 peratus sepanjang tempoh berkenaan.Dilaporkan juga bahawa Jepun berusaha agar bekalan makanan sentiasa mencukupi dengan menetapkan garis panduan dan piawaian tertentu.

Korea Selatan pula menguatkuasakan peraturan melarang penggunaan bahan plastik sukar dikitar semula seperti PVC dan botol PET berwarna untuk pembungkusan barang makanan dan minuman. Apa yang berlaku sekarang ialah bekalan makanan diagih menerusi pembelian atas talian.

Jenama terkenal Korea Selatan, Atomy dilaporkan berjaya memasarkan produk penggunaan harian isi rumah dan penjagaan kesihatan kepada lebih 18 negara di seluruh dunia termasuk Malaysia dalam tempoh kurang 10 tahun di pasaran dengan nilai jualan melebihi RM5 bilion setahun.

Penulis kagum dengan teknologi pembungkusan diperkenalkan Atomy kerana ia menekankan kepada komitmen kitar semula dan penjimatan sumber daya atau recycling and saving resources.

Laporan FoodNavigator-Asia pada 8 Disember lalu menyatakan kemungkinan Covid-19 dan penularannya melalui makanan seperti daging, tenusu, kacang-kacangan, buah dan sayuran yang berpotensi menjadi pembawa virus. Banyak kajian dilakukan tentang kesahihan perkara ini tetapi sehingga kini, tiada bukti kukuh untuk menyokong fakta berkenaan.

Setakat ini, pihak berkuasa kesihatan global melaporkan tidak ada bukti makanan atau pembungkusan makanan yang mampu menyebarkan Covid-19, walaupun China menemui virus tersebut pada kebanyakan makanan beku yang diimport daripada lebih 20 negara.

Justeru, penulis mencadangkan syarikat pembuatan dan pengilangan di Malaysia perlu segera menguasai teknologi pemakanan yang canggih sesuai dengan piawaian antarabangsa bagi memastikan bekalan di negara ini sentiasa mencukupi.

Kesimpulannya, kerajaan wajar segera menubuhkan Tabung Penyelidikan Makanan Canggih Covid-19 bagi memastikan lebih ramai penyelidik di institut pengajian tinggi melakukan lebih banyak kajian tentang penghasilan pemakanan menerusi teknologi canggih bagi memastikan bekalan makanan bukannya satu isu yang menimbulkan kegelisahan kepada penduduk dunia.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!