Politik, Covid-19 dan ekonomi

A
A
A

TAHUN 2020 bakal melabuhkan tirainya beberapa hari lagi. Tidak boleh dinafikan perjalanan sejarah sepanjang tahun 2020 amat luar biasa, dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

Tidak ada yang menyangka tahun 2020 akan membawa musibah yang melanda dunia pada skala luar biasa parahnya. Yang jelas tahun 2020 berwajah serba kritikal dan tidak menentu.

Bermula tahun 2020 ini, landskap politik negara juga berubah di luar dugaan. Harapan bertukar menjadi pengkhianatan. Ia kemudian berlanjutan kepada perampasan kuasa. Lonjakan besar ketika PRU14 bertukar mendadak selepas reformasi 22 bulan terenjat oleh konspirasi politik penuh drama.

Melompat wadah parti politik menjadi-jadi sehingga pakatan baharu dimunculkan. Selanjutnya politik negara kembali kepada pergelutan dan percaturan yang melelahkan.

Politik menjadi medan perebutan kuasa. Rakyat menyaksikan ahli politik saling menjatuhkan. Akhirnya kerajaan baharu didirikan dan mandat rakyat diketepikan.

Tidak kurang mencemaskan ialah drama politik dunia juga bergolak sangat meruncing. Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat (AS) bergelora dengan sangat sengit dalam tahun 2020 ini. Buat kali pertama politik AS tegang dan sarat dengan isu dalaman (salah guna kuasa, pertembungan sengit puak Demokratik dan Republikan) untuk merebut Rumah Putih.

Lebih berat lagi tahun 2020 menyaksikan negara UAE, Bahrain, Sudan dan Maghribi mengumumkan hubungan diplomatik (normalisasi) dengan Israel. Pengkhianatan terhadap perjuangan Palestin disaksikan dalam tahun 2020 ini.

Demikian juga sepanjang 2020, kebangkitan rakyat tercetus di Perancis, Greek, Lebanon, Russia, Argentina, Chile, Venezuala, Mesir, Libya, Tunisia dan Senegal. Di sebelah timur, Thailand dan Hong Kong terus bergolak. Demikian juga di Nigeria, Sudan dan Israel. Politik setiap negara tersebut bergolak dengan tuntutan agar Presiden, Perdana Menteri dan pemerintah diturunkan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, isu penindasan etnik terus tegang sepanjang 2020 seperti Kashmir, Rohingya dan Uyghur. Penindasan, penafian hak dan pelanggaran hak manusia ke atas rakyat minoriti berpanjangan pada tahun 2020.

Konflik

Mutakhir ialah konflik antara Ethopia dan pejuang Tigray. Arab Saudi terjebak dalam peperangan di Yemen dan memutuskan hubungan dengan Qatar dan Iran. Juga tahun ini menyaksikan perang sivil di Libya yang sangat meruncing.

Manakala 2020 juga memperlihatkan perang perdagangan antara Amerika dan China yang menjejaskan ekonomi dunia.

Tahun ini ditambah lagi dengan memperlihatkan keadaan tegang di Laut China Selatan bila China mengambil langkah menghantar kapal perang di lautan yang dipertikaikan itu.

Kemudian secara mendadak pandemik Covid-19 meledak. Walaupun berita koronavirus mulai kedengaran di China di hujung 2019, tiba-tiba bulan Mac 2020 menjadi titik bermula suatu babak pandemik di luar jangka.

Sehingga rencana ini ditulis lebih 73 juta warga dunia dijangkiti Covid-19, lebih 1.6 juta orang maut. Bermula di China, Korea Selatan Covid-19 merebak ke Itali, UK, Perancis, Turki, Jerman, Portugal, Rusia, AS, Kanada.

Covid-19 merebak pantas di Brazil dan India sehingga ke Australia, New Zealand, Indonesia, Singapura dan Malaysia. Semua negara berebut untuk mendapatkan vaksin.

Akibat Covid-19, ekonomi dunia tahun 2020 lumpuh. Jutaan hilang pekerjaan.

Kelembapan ekonomi melanda seluruh dunia. Pertumbuhan terencat dan bajet negara terjejas. Stimulus berbilion dolar terpaksa dibelanjakan. Hutang dalam dan luar negara melonjak. Ekonomi dijangka mengambil masa yang lama untuk pulih.

Tidak kurang mencemaskan ialah kualiti alam sekitar sepanjang 2020 semakin buruk.

Banyak yang perlu diambil iktibar dari tahun 2020. Keangkuhan dan kedegilan menghasilkan fasad di darat dan di laut oleh tangan manusia sendiri. Apakah tahun 2021 akan lebih menjanjikan keselesaan?

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu