Safa distruktur semula: Bung Moktar

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

LANGKAH penstrukturan semula Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) adalah sejajar dengan usaha untuk mengembangkan sukan bola sepak negeri itu, kata pemangku presiden, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, ia bertujuan memastikan badan induk bola sepak negeri itu terus dihormati selain merekodkan prestasi lebih baik demi pembangunan bola sepak negeri dan negara.

“Selaku Pemangku Presiden Safa, menjadi kewajipan saya untuk menyusun semula Safa dan mengenal pasti kelemahan persatuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam usaha pemantapan pengurusan Safa, pembabitan individu berpengalaman perlu untuk menyumbang kepakaran dan idea bagi mengembangkan potensi sukan bola sepak Sabah termasuk melahirkan bakat baharu dalam liga bola sepak.

Sementara itu, mengenai latar belakang beliau dalam sukan bola sepak, Bung Moktar berkata, pengalaman selaku penaung pasukan Felcra FC dan berjaya membawa pasukan itu ke saingan Liga Super akan digunakan untuk memajukan pasukan Sabah.

"Pengalaman ini, selain pernah berkecimpung dalam sukan bola sepak daerah dan negeri dulu, akan saya gunakan untuk memajukan pasukan Sabah.

"Apa yang penting, kita beri keyakinan kepada pemain, pasukan dan pengurus untuk mengurus organisasi ini dengan baik, pasti hasilnya juga baik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Bung Moktar berkata, kerajaan Sabah bersetuju memberi bantuan kepada bekas pemain Sabah, Bobby Chua yang sebelum ini dilaporkan sakit dan memerlukan rawatan lanjut. - Bernama

Artikel Berkaitan: