Perlu timbang cara untuk vaksin pekerja migran: WHO

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Negara yang menjadi tuan rumah kepada pekerja migran perlu menimbangkan cara untuk memvaksin pekerja warga asing dalam usaha membasmi Covid-19, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Penyelaras bagi Perubatan Penting dan Teknologi Kesihatan Wilayah Pasifik Barat WHO, Dr Socorro Escalante berkata, semasa WHO telah menyenaraikan kumpulan yang harus diberi keutamaan untuk vaksinasi iaitu pekerja kesihatan, warga emas dan mereka yang mempunyai gejala penyakit; pekerja migran juga harus dimasukkan ke dalam kategori berisiko tinggi, jika ada keperluan.

"Matlamat kita adalah untuk menghalang morbiditi dan mortaliti, melindungi sistem kesihatan serta menghalang gangguan sosial dan ekonomi,” katanya pada persidangan media maya hari ini.

Malaysia merekodkan ribuan kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja warga asing dan menurut angka yang dikeluarkan WHO serantau, Malaysia mencatatkan jumlah kedua tertinggi jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas di rantau ini dengan 1,371 kes di belakang Jepun.

Sejak beberapa bulan lepas, majoriti jumlah kes harian dilaporkan melibatkan pekerja asing di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Pulau pinang dan juga penjara.

Isu itu muncul apabila syarikat pengeluar sarung tangan Top Glove melaporkan lebih daripada 5,600 kes dalam kalangan pekerja kilangnya di Petaling Jaya, dekat sini sejak beberapa minggu kebelakangan ini dan lain-lain syarikat kilang sarung tangan turut melaporkan penularan jangkitan.

Jangkitan dalam kalangan pekerja warga asing turut dilaporkan di negara-negara lain seperti Singapura, awal tahun ini.

Rata-rata jangkitan ini dikaitkan dengan tempat kediaman yang sesak disediakan dan kekurangan langkah-langkah pembanterasan yang perlu dipatuhi.

Artikel Berkaitan:

Para pegawai di persidangan media maya itu berkata, negara-negara di rantau ini dijangka menerima vaksin di bawah kemudahan COVAX dalam suku kedua tahun 2021.

Di bawah kemudahan itu, sekurang-kurangnya 20 peratus populasi negara anggota dijamin menerima vaksin Covid-19 sebaik sahaja ia ada. - Bernama