Banjir kilat: Mangsa sedia tunggu arahan pindah

Keadaan banjir kilat di Lorong Cherating Damai 2, Kuantan sekitar jam 6 petang tadi.
Keadaan banjir kilat di Lorong Cherating Damai 2, Kuantan sekitar jam 6 petang tadi.
A
A
A

KUANTAN - Lima sekeluarga di Kampung Sungai Bujuk Darat, Sungai Ular di sini kemungkinan terpaksa berpindah apabila rumah mereka dilanda banjir kilat sehingga melebihi paras satu meter hari ini.

Penduduk, Rosliza Mohd Zanawi, 38, berkata, dia yang tinggal bersama tiga anaknya berusia tiga hingga 13 tahun menunggu arahan semasa daripada ketua kampung dan atau pihak berwajib sekiranya keadaan semakin membimbangkan.

"Saya keluar kerja sekitar jam 9 pagi tadi, air banjir cetek sahaja. Tak risau sangat sebab situasi itu biasa jika hujan dan musim tengkujuh. Lagipun rumah saya tinggi.

"Tapi bila balik kerja petang tadi, air sudah tinggi sampai motosikal pun tak lepas untuk lalu di jalan. Bimbang juga dan kena berjaga-jaga. Hujan pula tak berhenti sejak malam tadi.

"Tapi ketua kampung dan guru besar sekolah yang biasa dijadikan pusat penempatan banjir ada pesan kepada saya, jika keadaan air makin tinggi, beritahu dia," katanya yang bekerja dalam jarak 10 kilometer dari rumahnya.

Sebuah rumah di kawasan Perumahan Cherating Damai, Kuantan ditenggelami air melebihi satu meter.
Sebuah rumah di kawasan Perumahan Cherating Damai, Kuantan ditenggelami air melebihi satu meter.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Perkampungan Cherating Damai di sini mendapati kira-kira 30 buah rumah masih dinaiki air sehingga petang tadi.

Pegawai Tugas-tugas Khas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Wan Zulkifly Wan Abd Rahim berkata, pihaknya telah menghubungi pihak-pihak berkaitan untuk memaklumkan situasi semasa banjir kilat di kedua-dua lokasi.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, katanya, beliau dan kakitangan pejabat Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah terus membuat pemantauan semasa kerana malam ini dijangka akan berlaku air pasang besar di Pantai Cherating.

"Kita sudah buat tinjauan dan dapati air naik sejak semalam kerana hutan tak berhenti. Di Sungai Bujuk Darat ada tiga buah rumah banjir dan dinasihatkan bersedia untuk pindah, manakala di kawasan Perumahan Cherating Damai air naik sekitar 0.5 meter hingga paras satu meter.

"Rumah-rumah di Lorong Cherating Damai 2 ini sebaris, ada lebih kurang 20 buah rumah dinaiki air bawah paras 0.5 meter. Banjir kilat juga berlaku di jalan utama berhadapan Masjid Cherating Damai dan Sekolah Kebangsaan Cherating," katanya.

Laporan penuh tinjauan banjir kilat daerah Kuantan boleh ditonton secara langsung menerusi Facebook Sinar Harian hari ini.