Rokok putih bernilai RM742,500 dalam lori muatan tilam

Komander AKSEM Bukit Kayu Hitam, Asisten Superintendan Mohd Khairi Abdullah (kanan) menunjukkan rokok bernilai RM742,500 termasuk cukai cuba diseludup yang dirampas di Kilometer 177.3 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan, berhampiran Butterworth, Pulau Pinang pada Rabu.
Komander AKSEM Bukit Kayu Hitam, Asisten Superintendan Mohd Khairi Abdullah (kanan) menunjukkan rokok bernilai RM742,500 termasuk cukai cuba diseludup yang dirampas di Kilometer 177.3 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan, berhampiran Butterworth, Pulau Pinang pada Rabu.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kedah merampas 4,500 karton rokok putih dianggarkan bernilai RM742,500 termasuk cukai yang cuba diseludup di kilometer 177.3 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan, berhampiran Butterworth, Pulau Pinang pada Rabu.

Komander AKSEM Bukit Kayu Hitam, Asisten Superintendan Mohd Khairi Abdullah berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya menahan sebuah lori dipercayai membawa muatan rokok tidak berkastam kira-kira jam 10.30 malam.

Menurutnya, pemandu lori berusia 31 tahun cuba memecut kenderaan berkenaan ketika menyedari diekori, namun berjaya dikejar anggota risik/operasi AKSEM Kedah.

"Melalui pemeriksaan, kita menemui 4,500 karton rokok dianggarkan mengandungi 900,000 batang rokok putih dalam 90 kotak besar di dalam lori tiga tan yang membawa muatan barangan plastik dan tilam.

"Berdasarkan siasatan, kita mendapati lori itu mampu membawa muatan antara 500 hingga 600 kotak rokok, bagaimanapun dipercayai sebahagian daripada rokok terbabit telah diturunkan di Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar di Kompleks AKSEM Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Khairi berkata, nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM802,500 termasuklah nilai 4,500 karton rokok dengan cukai sebanyak RM742,500 serta lori dianggarkan RM60,000.

Beliau berkata, pihaknya percaya baki 90 kotak rokok yang tinggal dan ditemui dalam lori adalah untuk dihantar di kawasan sekitar, antaranya seperti Kulim dan Bandar Baharu.

Menurutnya, pemandu lori memaklumkan tidak mengetahui apa-apa dan hanya menjalankan tugas untuk menghantar barangan dalam lori namun siasatan masih dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Khairi berkata, pihaknya menyerahkan pemandu lori dengan muatan rokok yang dirampas kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967," katanya.