Grup Telegram kongsi maklumat barang curi

Satu platform menghimpunkan peniaga-peniaga barang lusuh diwujudkan menerusi aplikasi Telegram dalam usaha mencegah penjualan barangan curi di negeri ini pada tahun depan.
Satu platform menghimpunkan peniaga-peniaga barang lusuh diwujudkan menerusi aplikasi Telegram dalam usaha mencegah penjualan barangan curi di negeri ini pada tahun depan.
A
A
A

JASIN - Polis Melaka akan mewujudkan satu platform yang menghimpunkan peniaga-peniaga barang lusuh menerusi aplikasi Telegram dalam usaha mencegah penjualan barangan curi di negeri ini pada tahun depan.

Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Superintendan Makhzan Mat Nor berkata, ia merupakan inisiatif jabatan berkenaan agar peniaga barangan lusuh mematuhi peraturan di bawah Akta Peniaga Sekenhend 1946 (Akta 189).

"Pada tahun ini, seramai 369 peniaga telah diberikan lesen mengusahakan perniagaan barangan terpakai di mana polis sentiasa melakukan pemantauan secara berkala terhadap peniaga-peniaga ini.

Menerusi platform Telegram yang akan diwujudkan ini, polis akan memberi maklumat mengenai kegiatan curi terutama membabitkan kenderaan kepada peniaga barangan terpakai ini agar mereka tidak membeli malah melaporkannya kepada polis bagi mengekang jenayah curi daripada terus berleluasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Op Bersepadu Pelesenan Am (Sekenhend) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan Melaka di Melaka Tengah dan Jasin di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Makhzan berkata, jika pemegang lesen perniagaan barangan lusuh ini dikesan melakukan kesalahan sama terutamanya di bawah Seksyen 13 Akta Peniaga Sekenhend 1946 kerana membeli barangan curi, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengesyorkan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk membatalkan lesen mereka.

Beliau berkata, hanya Ketua Menteri Melaka yang mempunyai hak untuk membatalkan lesen perniagaan mana-mana pihak di bawah akta berkenaan manakala polis hanya mempunyai kuasa untuk meluluskan permohonan lesen sahaja.

Katanya, sejak 1 Januari hingga semalam, sebanyak 650 premis telah diperiksa di seluruh Melaka membabitkan 404 pemeriksaan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, 105 pemeriksaan oleh IPD Alor Gajah, 102 pemeriksaan oleh IPD Jasin dan 39 pemeriksaan oleh IPK Melaka.

Artikel Berkaitan:

Dalam operasi berkenaan, tiga premis yang diperiksa masing-masing dikenakan kompaun di bawah Seksyen 6 Akta Peniaga Sekenhend 1946 (Akta 189) kerana tidak mempunyai lesen menjalankan perniagaan barangan lusuh, empat Notis Pungutan Larva di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, dua kompaun Pelesenan Tred 2011 Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen, dua kompaun Rumah Pembiakan MPJ 2011 kerana memelihara anjing tanpa lesen.

Selain itu, satu kompaun Undang-undang Kecil Gudang Perbandaran 1979 Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kerana menggunakan premis sebagai stor/ gudang barang lusuh tanpa lesen, satu kompaun Rumah Pembiakan MBMB kerana memelihara anjing tanpa lesen dan satu notis Patuh Syarat Lesen MBMB untuk menangkap enam ekor anjing di hadapan premis. - Bernama

-