MJPK bantu asnaf terkesan Covid-19

Abdullah ketika membuat pelepasan kenderaan program bantuan makanan dan wang tunai kepada mangsa-mangsa Covid-19 kumpulan B40 dan pelajar daripada keluarga B40 di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV hari ini.
Abdullah ketika membuat pelepasan kenderaan program bantuan makanan dan wang tunai kepada mangsa-mangsa Covid-19 kumpulan B40 dan pelajar daripada keluarga B40 di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Jaksa Pendamai Kelantan (MJPK) memperuntukkan RM370,000 bagi membantu golongan asnaf yang terkesan akibat Covid-19.

Naib Pengerusi 1 MJPK, Datuk Razali Daud berkata, sumbangan tersebut akan diagihkan mengikut jajahan di seluruh negeri bermula pada Khamis sehingga menjelang sambutan Krismas pada 25 Disember depan.

“Sumbangan tersebut berbentuk wang tunai serta keperluan makanan asas yang akan diberikan kepada 1,700 penerima terdiri daripada asnaf yang terkesan akibat pandemik Covid-19 melanda negara ketika ini.

“Seramai 100 orang kita peruntukkan untuk setiap jajahan melibatkan kos sebanyak RM220 setiap seorang. Untuk kawasan Kota Bharu, pembahagian bantuan diperluaskan sehingga ke lima zon utama terutama melibatkan perkampungan nelayan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita, di sini.

Sebelum itu beliau mengiringi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub yang mewakili Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob membuat pelepasan kenderaan program bantuan makanan dan wang tunai kepada mangsa-mangsa Covid-19 kumpulan B40 dan pelajar daripada keluarga B40 di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Khamis.

Razali (kiri) menyerahkan bungkusan makanan dan keperluan kepada Abdullah sebagai gimik sebelum pelepasan kenderaan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV hari ini.
Razali (kiri) menyerahkan bungkusan makanan dan keperluan kepada Abdullah sebagai gimik sebelum pelepasan kenderaan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, majlis sumbangan tersebut adalah kesinambungan majlis iftar dan penyampaian zakat kepada golongan asnaf bersama Sultan Kelantan Sultan Muhammad V yang diadakan setiap tahun.

Bagaimanapun, disebabkan Covid-19, kaedah turun padang dilakukan melalui wakil-wakil yang dilantik bagi setiap jajahan.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga mengalu-alukan sumbangan badan-badan korporat atau individu persendirian untuk menyumbang kepada tabung. Semoga dengan kerjasama tersebut akan membuahkan manfaat lebih banyak kepada mereka yang memerlukan di sini,” kata beliau lagi.

Sementara itu, Abdullah ketika menyampaikan ucapan semasa pelepasan kenderaan tersebut memberitahu, kerajaan negeri menyambut baik usaha dilakukan MJPK terutama dalam tempoh dan situasi semasa.

“Kita ucapkan tahniah kepada MJPK sebab mengambil inisiatif yang bermakna untuk sama-sama menabur bakti kepada masyarakat memerlukan,” katanya.