Covid-19: Tiga kluster baharu dikesan, enam tamat

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak tiga kluster Covid-19 baharu dilaporkan, masing-masing dua di Kuala Lumpur dan satu di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua kluster di Kuala Lumpur membabitkan Kluster Jalan Rusa di Cheras dan Kluster Tapak Bina Pasifik di Lembah Pantai, manakala Kluster Maringkan dikesan di Telupid dan Ranau di Sabah.

Kluster Jalan Rusa dikesan melalui saringan komuniti di sebuah kediaman bermula awal bulan ini.

"Saringan ini dijalankan selepas satu kes positif dikesan di kalangan penduduk pada penghujung bulan November," katanya.

Menurutnya, sehingga kini, 129 dikesan positif daripada 1,267 individu telah disaring.

"Kluster Tapak Bina Pasifik pula dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Lembah Pantai.

"Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif Covid-19 bermula 12 Disember melalui saringan tempat kerja di sebuah tapak binaan," katanya.

Beliau berkata, sejumlah 159 individu telah disaring dan 17 disahkan positif.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, bagi Kluster Maringkan, kes indeks bagi kluster itu, iaitu kes ke-70,580 telah dilaporkan positif Covid-19 pada 5 Disember melalui saringan individu bergejala.

Sehingga hari ini, seramai 93 disaring dan 11 disahkan positif Covid-19.

Sementara itu, pada perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata, jumlah keseluruhan kluster yang dilaporkan adalah 429.

"Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah 236 termasuk enam kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Benteng PK, Kluster Kapas BJ, Kluster Garden, Kluster Bah Tropicana, Kluster Bah Bercham dan

Kluster Mentari.

"Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 193 kluster," katanya.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 41 kluster melaporkan pertambahan kes.

"Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Penjara Jalan Harapan 98 kes, Kluster Jalan Rusa (57) dan Kluster Bintang 50 kes," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: 1,220 kes baharu, 3 kematian hari ini