X

Kindly register in order to view this article
!

Polis Johor kesan anggota ada rekod jenayah, dadah

Ayob Khan
A
A

JOHOR BAHRU - Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor sedang melakukan pemutihan dengan mengesan serta mengambil tindakan terhadap anggotanya yang mempunyai rekod jenayah dan dadah.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Johor (JIPS) sudah mengesan 22 pegawai dan anggota yang mempunyai rekod jenayah lampau.

"Ini termasuk orang yang dikehendaki sebelum menjadi polis. Mereka ini sedang berkhidmat dan akan diambil tindakan oleh JIPS Johor," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Beliau memberitahu, JIPS sudah membuka 230 kertas siasatan tatatertib sejak Januari lalu hingga kini melibatkan 32 pegawai kanan, 246 pegawai rendah polis dan dua pegawai awam.

Menurutnya, kes salah laku merupakan yang tertinggi iaitu sebanyak 154 diikuti kes dadah melibatkan 46 kertas siasatan tatatertib.

Selain itu katanya, JIPS Johor sudah membuka sebanyak 161 kertas enkuari tatatertib membabitkan seramai 78 pegawai kanan dan 152 anggota pangkat rendah berkaitan tohmahan dan surat layang.

Jelasnya, hasil siasatan mendapati seramai 32 pegawai dan anggota telah diambil tindakan tatatertib di bawah peraturan 37 iaitu dengan tindakan buang kerja atau turun pangkat.

"162 pegawai dan anggota yang telah diambil tindakan tatatertib di bawah peraturan 36 (tindakan bukan tujuan buang kerja atau turun pangkat) dan seramai 37 pegawai dan anggota diambil tindakan tatatertib di bawah peraturan 33 (sabitan mahkamah)," katanya.

Katanya, sehingga kini terdapat 45 pegawai kanan dan anggota yang ditahan kerja, 14 anggota digantung kerja dan 46 anggota dibuang kerja melibatkan pelbagai kesalahan jenayah dan salah laku.

Tindakan buang kerja ujarnya, dijangka bertambah berikutan masih terdapat kes tatatertib dalam siasatan dan juga kes dalam perbicaraan mahkamah melibatkan penyalahgunaan dadah.

"Mungkin sebelum ini (salah laku polis) terlepas pandang termasuk sama ada tidak ada penyeliaan, pemantauan dan ketegasan. Kita tidak berselindung lagi kerana keadaan semakin serius dan tidak boleh bertolak ansur lagi.

"Anggota polis di Johor adalah yang paling tinggi dibuang kerja. Tidak timbul isu aniaya (tindakan terhadap anggota polis), kita tangkap semua termasuk pegawai polis, kita tidak boleh biarkan benda ini terus berlaku," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!