Syed Saddiq pertahan Dr Mahathir

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menempelak pihak yang menuduh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak prihatin dengan golongan muda di negara ini.

Syed Saddiq berkata, mereka seharusnya mengingati bahawa semasa menjadi Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir telah melantik ramai di kalangan menteri dan timbalan menteri daripada golongan muda.

“Saya, Yeo Bee Yin (bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim), Steven Sim Chee Keong (bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan) dan ramai lagi,” katanya menerusi satu kenyataan di Instagram beliau hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan orang ramai yang mengutuk Dr Mahathir susulan tindakannya yang bersuara membela golongan muda.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut memberikan contoh perlantikan lain oleh Dr Mahathir; antaranya Majlis Tindakan Ekonomi Negara (NEAC) yang dibarisi tiga orang golongan muda.

“Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri melantik paling ramai pengerusi, ketua pegawai eksekutif dan ahli lembaga pengarah di kalangan anak muda profesional. Lihat sahaja perlantikan (bekas) Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB), Jalil Rasheed, (berumur) 37 tahun,” katanya.

Syed Saddiq menambah, Dr Mahathir juga berjaya meluluskan tiga kali pindaan Perlembagaan iaitu menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun yang bakal menambah 7.8 juta pengundi baharu daripada golongan muda.

“Ya, saya tidak lagi berada dalam parti Tun Mahathir. Ya, saya ada perbezaan pendapat dalam beberapa isu politik. Tetapi hormat tetap hormat. Jasa tetap dikenang.

Artikel Berkaitan:

“Yang pelik, penyokong kerajaan sampai hari ini masih panggil saya ‘cucu’ tetapi ada penyokong Tun yang panggil saya ‘pengkhianat’ kerana ada perbezaan pendapat dengan Tun.

“Saya di sini kerana rakyat. Saya hormati mereka yang banyak berjasa dalam membangunkan negara dan membimbing saya,” katanya.