Pulau Pinang sudah wartakan 6,288 hektar kawasan tadahan air

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang telah mewartakan 6,288 hektar kawasan tadahan air di bawah Enakmen Pembekalan Air (EPA) 1998 Perintah Pembekalan Air (Kawasan Tadahan) yang meliputi seluas 3,565 hektar hutan simpanan kekal sejak Disember 2004.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, jumlah itu meliputi 70 peratus hutan simpanan kekal di negeri ini yang sudah diwartakan.

Bagaimanapun, katanya, ia diwartakan di bawah enakmen kerajaan negeri dan bukannya di bawah Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 (Akta 313).

"Pewartawaan itu bagi memastikan sumber bekalan air di Pulau Pinang terpelihara. Ia meliputi 70 peratus hutan simpanan kekal di Pulau Pinang yang telah dikhususkan untuk tujuan perlindungan kawasan hutan tadahan air sejak tahun 2004," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri juga bersetuju meluluskan untuk mewartakan seluas 3,791 hektar hutan simpanan kekal sebagai hutan tadahan air mengikut Seksyen 10(1)(e) APN 1984.

"Dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang pada 2 Disember lalu, kita tidak mempunyai halangan untuk mewartakan hutan simpanan kekal kawasan sebagai hutan tadahan air di bawah Akta 313.

"Kita juga bersetuju meluluskan 3,791 hektar hutan simpanan kekal untuk diwartakan sebagai hutan tadahan air di bawah Seksyen 10(1)(e) APN 1984.

"Jumlah keluasan hutan simpanan kekal untuk tujuan pewartaan ini turut bertambah sebanyak lima peratus yang mana terdapat hutan simpanan kekal lain yang tidak diwartakan di bawah EPA 1998 pada 2004," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Pulau Pinang merupakan negeri yang terawal berbanding negeri lain di Semenanjung Malaysia yang mewartakan kawasan tadahan airnya di bawah Enakmen Pembekalan Air Negeri yang mana meliputi kawasan hutan simpanan kekal pada tahun 2004.

"Pada waktu ini, Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang dalam proses membuat pewartaan dan dijangka selesai disiar warta pada Jun tahun depan. Kerajaan negeri tidak berselindung atau menyembunyikan sebarang fakta, malah bersetuju untuk menambah keluasan hutan tadahan air sedia ada.

"Isu yang timbul ini kerana ia merupakan pewartaan di bawah perundangan yang berbeza, namun kedua-dua perundangan tujuannya adalah sama iaitu mewujudkan dan memelihara kawasan sebagai kawasan tadahan air untuk menjamin bekalan air," katanya.

Terdahulu, Pulau Pinang diminta untuk segera mewartakan kawasan tadahan air seluas 3,399 hektar bagi menjamin sumber bekalan pada masa depan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika menyuarakan gesaan itu berkata, negeri lain di Semenanjung Malaysia sudah mengambil tindakan proaktif dalam mewartakan kawasan tadahan air masing-masing.

Setakat ini, katanya, tujuh negeri di Semenanjung iaitu Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Selangor dan Terengganu sudah mewartakan 100 peratus kawasan tadahan air seperti dicadangkan.