Tambah lokasi pelancongan di Melaka

Muhammad Jailani (dua, kanan) menunjukkan reka bentuk kapal Mendam Berahi Hang Tuah.
Muhammad Jailani (dua, kanan) menunjukkan reka bentuk kapal Mendam Berahi Hang Tuah.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Melaka bakal bina semula kapal Mendam Berahi di Klebang bagi menambahkan lokasi pelancongan di negeri ini yang akan dinamakan Taman Tema Samudera.

Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, setakat ini cadangan mengenai reka bentuk kapal yang pernah digeruni armada musuh telah disiapkan.

Menurutnya, wakil kerajaan negeri, Timbalan Speaker Dun, Datuk Wing Fort Pin akan mengetuai satu delegasi ke Makasar, Indonesia bagi mengumpulkan maklumat dan sebagainya berhubung pembinaan projek tersebut.

"Tindakan itu juga bagi memantau dan mengambil maklum tujuh buah muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) yang berada luar negara seperti di Medan, Acheh, Jakarta, Palembang, Pekan Baru dan lain-lain lagi supaya segala info yang berkaitan dengan keagungan tamadun Melaka suatu ketika dahulu dapat dikembalikan ataupun dipamerkan sama ada dalam bentuk yang asli mahupun replika," katanya.

Menurutnya lagi, ia begitu penting kerana kewujudan kapal itu menjadi bukti kukuh mengenai zaman kegemilangan empayar maritim Melaka, malah hasil kajian yang dilakukan oleh pengkaji mendapati Mendam Berahi itu sepanjang 54.8 meter dan akan dicadangkan untuk membina ruangan galeri bagi menambahkan info kepada pengunjung.

Katanya, dalam masa yang sama, pihaknya dalam proses mencari individu yang berkemahiran dan pakar dalam pembuatan kapal bagi merealiasikan produk pelancongan berkenaan.

Reka bentuk Kapal Mendam Berahi yang akan dibina di Klebang sebagai produk pelancongan baharu Melaka.
Reka bentuk Kapal Mendam Berahi yang akan dibina di Klebang sebagai produk pelancongan baharu Melaka.

"Perancangan produk pelancongan bersebelahan kapal selam itu sebenarnya menyelar kenyataan segelintir pihak bahawa kerajaan negeri PH hanya meneruskan projek yang telah dirancang kerajaan terdahulu sedangkan ini idea baharu kita.

Artikel Berkaitan:

"Kita meletakkan keyakinan ia akan dapat memperkasakan lagi sektor pelancongan di negeri ini dan akan berjaya menonjolkan sejarah kehebatan Melaka," katanya.

Muhammad Jailani berkata demikian ketika majlis perasmian Tarian Singa sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2019 di pekarangan Hotel Equatorial Melaka yang disempurnakan oleh Timbalan Speaker Dun, Datuk Wong Fort Pin mewakili Ketua Menteri, di Banda Hilir, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, Pengurus Besar Hotel Equatorial, Datuk Syed A. Rahman Alkaff dan Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) negeri, Jefri Munir.

Muhammad Jailani yang juga Adun Rembia berkata, perbezaan kerajaan negeri PH pada hari ini, apabila melibatkan sama wakil-wakil rakyat dalam setiap delegasi sektor pelancongan ke luar negara kerana pihaknya percaya masing-masing berperanan besar untuk menyumbang kepada sektor ini selain wakil-wakil agensi kerajaan yang lain.

"Seperti delegasi ke Makasar tidak lama lagi akan disertai wakil Jabatan Keseniaan dan kebudayaan, Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA), Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai (PPSPM) dan banyak lagi," katanya.

Dianggarkan lebih 100 orang hadir dan teruja melihat persembahan tarian singa berkenaan yang diadakan selama kira-kira 15 minit.