KDA FC berhak pinda logo ikut kesesuaian

Logo yang disenaraipendek dan pemenang yang tular di media sosial sejak semalam. Gambar kecil: Khamal Idris Ali
Logo yang disenaraipendek dan pemenang yang tular di media sosial sejak semalam. Gambar kecil: Khamal Idris Ali
A
A
A

ALOR SETAR - Keputusan pemilihan logo rasmi Kedah Darul Aman (KDA) FC diputuskan jawatankuasa penapisan pemilihan logo selain merujuk kepada undian dalam talian sebagai satu pungutan suara bagi menentukan pemenang.

Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali berkata, namun selaku pemilik mutlak logo, KDA FC berhak melakukan pindaan terhadap logo pemenang mengikut kesesuaian imej pasukan bola sepak Kedah.

Menurutnya, perkara itu turut dinyatakan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dalam terma dan syarat pertandingan logo yang dianjurkan.

“Sehubungan itu, KDA FC mengambil keputusan membuat pindaan kepada logo pemenang pertandingan, setelah membuat penilaian lebih khusus.

"Bagaimanapun, bagi menghormati dan meraikan kreativiti serta penat lelah pereka logo yang dipilih jawatankuasa pemilih dan undian dalam talian, KDA FC berpandangan pemenang wajar diberikan hadiah seperti hasrat penaja pertandingan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:KDA FC dedah logo baharu ciptaan Ku Basri

Khamal Idris berkata, pereka logo yang telah dipilih sebagai logo rasmi juga akan menerima hadiah daripada KDA FC.

Penjelasan itu dibuat susulan tular satu rakaman audio yang mengaitkan nama beberapa individu tertentu dalam pemilihan logo KDA FC.

Polemik itu diperkatakan di media sosial selepas pengumuman logo rasmi KDA FC semalam oleh Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor. Ia disusuli kecaman netizen yang mempertikai pemilihan logo yang disenaraipendek, namun pemenang bukan dari kalangan tiga teratas.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Khamal Idris berkata, rakaman audio tersebut berbaur fitnah untuk menimbulkan prasangka buruk terhadap pihak tertentu.

“Pertandingan ciptaan logo ini dianjurkan KFA. Sebagai anak syarikat, KDA FC menghargai inisiatif tersebut apatah lagi melibatkan penyertaan ratusan rekaan daripada peminat sukan bola sepak khususnya dari Kedah.

Hasrat murni pihak penaja untuk memberi hadiah kepada pemenang tempat pertama pertandingan amat kita sanjungi dan wajar diteruskan,” katanya.

Pada masa sama, pihaknya mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat bola sepak atas keprihatinan, sumbangan dan sokongan berterusan yang diberikan.