X

Kindly register in order to view this article
!

[DIKEMASKINI] DBKL bentang belanjawan RM2.65 bilion

Mahadi (dua dari kanan) memegang buku Belanjawan DBKL 2021 pada sidang akhbar di Menara DBKL 1 di sini hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan bajet defisit 2021 dengan peruntukan RM2.65 bilion berbanding RM2.97 bilion tahun lepas.

Belanjawan DBKL 2021 itu merangkumi 66.4 peratus peruntukan mengurus sebanyak RM1.76 bilion dan 33.6 peratus atau RM891 juta untuk peruntukan pembangunan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah berkata, anggaran hasil DBKL pada tahun depan dijangka mengalami penurunan hampir 22 peratus iaitu daripada RM2.5 bilion tahun ini kepada RM1.96 bilion akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, bertemakan 'Sayangi Kuala Lumpur, Kota Sejahtera' sebanyak RM392 juta diperuntukkan bagi projek infrastruktur berkaitan jalan, sungai, cerun dan longkang.

"Hampir RM70 juta disediakan bagi pembinaan terowong dan penyuraian trafik serta kerja naik taraf jalan sekitar Jalan Tun Razak. Sebanyak RM40 juta diperuntukkan untuk pembinaan jalan raya bertingkat di sekitar Damansara dan RM135 juta penyelenggaraan infra lain.

"Bagi mengatasi banjir kilat, sejumlah RM130 juta diperuntukkan iaitu RM17 juta menaik taraf sistem perparitan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sungai Besi dan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) selain RM16 juta untuk kerja pembersihan serta penyelenggaraan sungai seluruh Kuala Lumpur," katanya pada sidang akhbar pembentangan Belanjawan DBKL 2021 di Menara DBKL 1 hari ini.

Menurutnya, selaras dengan usaha itu, tiga lokasi hotspot dikenal pasti untuk pelaksanaan projek tebatan banjir tahun depan dengan peruntukan RM6. 5 juta sekitar Jalan Hang Lekiu, Jalan Cheras dan Sungai Toba Segambut.

Selain itu katanya, DBKL memperuntukkan RM30 juta untuk penyiapan projek Perumahan Awam (PA) Council Home di Kampung Sungai Udang di Segambut yang dijangka siap akhir tahun depan memberi manfaat kepada 1,000 keluarga.

"Sehingga kini DBKL telah menerima lebih 37,000 permohonan penyewaan PA dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang masih belum ditawarkan sejak 2010 kerana tiada kekosongan.

"Selain itu sebanyak RM68 juta diperuntukkan bagi kerja selenggara dan pembersihan kawasan perumahan PA dan PPR selain RM10 juta bagi kerja penggantian lif beberapa kawasan secara berperingkat," katanya.

Menurut beliau, Kuala Lumpur sebagai Bandar Raya Rendah Karbon menjelang 2030 menyasarkan pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sehingga 70 peratus.

"Untuk tujuan itu, DBKL mengambil tindakan menggunakan tenaga solar untuk bangunan milik DBKL seperti di Stadium Titiwangsa menggunakan teknologi itu bermula akhir 2021 dan penggunaan tenaga elektrik untuk perkhidmatan bas Go KL," katanya.

Ditanya berhubung kemungkinan pengecualian sewa premis, PA dan PPR diteruskan pada tahun depan katanya, keputusan dibuat mengikut keadaan semasa.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!