Mujahid bidas BN tidak serius, konsisten bantah Belanjawan 2021

Mujahid Yusof
Mujahid Yusof
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof membidas tindakan Barisan Nasional (BN) yang tidak serius dan konsisten dengan retorik mereka di luar Dewan dalam membantah Belanjawan 2021.

Menurutnya, spekulasi kononnya Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) akan bersama blok pembangkang dalam undian menolak Belanjawan 2021 ternyata meleset hingga ke undian terakhir dan ia gagal diterjemahkan oleh mereka.

“Kegagalan (Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan keabsahan majoriti serta krisis hubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO kekal meributkan blok BN-PN (Perikatan Nasional).

“Walaupun UMNO gagal menzahirkan keretakan ini dalam undian tempoh hari, ini bukan bermakna UMNO menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dan PN,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini.

Dalam sidang akhbar bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyatakan beliau mampu menarik sokongan ahli Parlimen BN untuk menumbangkan kerajaan PN dalam undian Belanjawan 2021 yang dibentangkan untuk bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, cubaan itu tidak menjadi kenyataan apabila kerajaan PN menang dalam undi belah bahagian yang menyaksikan 111 ahli Parlimen menyokong, 108 menolak dan satu tidak hadir.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukti ahli Parlimen sedar dan insaf: Muhyiddin

Belanjawan 2021 lulus di Dewan Rakyat

Artikel Berkaitan:

Ku Li yakin mampu tarik ahli parlimen BN tolak Belanjawan 2021 esok

Mengulas lanjut, Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar turut mendakwa bahawa terdapat spekulasi bertiup kencang kononnya sebahagian daripada ahli Parlimen UMNO telah menyatakan sokongan secara senyap kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mencukupkan majoriti dimiliki Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

“Perkara ini sekali gus mengembalikan keabsahan majoriti kepada Anwar sebagai Perdana Menteri. Amanah konsisten dalam menyatakan sokongan dan usaha yang digerakkan atas keperluan mengambil balik hak Pakatan Harapan (PH) yang dinafikan oleh para pembelot.

“Adalah sangat penting langkah Anwar berakhir dengan plot yang ditetapkan iaitu mendapat majoriti dan membentuk kerajaan yang dipercayai rakyat serta menguruskan krisis pandemik dengan lebih berkesan,” katanya.