ILKKM dibuka semula sebagai pusat kuarantin, rawatan Covid-19

ILKKM Johor Bahru dibuka semula sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) bagi pesakit Covid-19 berisiko rendah.
ILKKM Johor Bahru dibuka semula sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) bagi pesakit Covid-19 berisiko rendah.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor membuka semula Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) bagi pesakit Covid-19 berisiko rendah di Blok C, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Johor Bahru.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, langkah tersebut berikutan kes positif gelombang ketiga Covid-19 yang meningkat setiap hari di negeri itu sejak kebelakangan ini.

"Pusat ini pernah digunakan bagi menempatkan pesakit Covid-19 berisiko rendah tanpa gejala atau dengan gejala ringan sebagai 'step down centre' ketika gelombang kedua bagi tempoh April hingga Jun 2020.

"Namun diaktifkan semula mulai 4 Disember lalu, pesakit Covid-19 tanpa gejala atau dengan gejala ringan ditempatkan sebelum dibenarkan pulang ke rumah atau daerah masing-masing selepas tamat tempoh kuarantin dan rawatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, PKRC Blok C ILKKM JB semasa dibuka semula hanya menyediakan 146 katil dan kini kapasiti dipertingkatkan maksimum sehingga 496 katil berdasarkan keperluan semasa.

Pesakit dimasukkan ke pusat itu adalah pesakit-pesakit Covid-19 yang dipindahkan dari Wad Covid Hospital Permai Johor Bahru dan Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang.

Katanya, mulai 4 hingga 15 Disember lalu, seramai 631 pesakit dimasukkan di pusat berkenaan dan 386 pesakit telah dibenarkan pulang.

Selain PKRC ILKKM JB katanya, pesakit Covid-19 tanpa gejala atau dengan gejala ringan juga ditempatkan di enam buah wad khusus di Hospital Permai Johor Bahru dengan kapasiti terkini sebanyak 244 buah katil.

Artikel Berkaitan:

"Bagi menampung peningkatan kes jangkitan Covid-19 dalam gelombang ketiga ini, Kompleks Sukan Hospital Permai digunakan sebagai lokasi tambahan menempatkan pesakit dengan bantuan 75 katil kanvas dari Airport Disaster Unit Senai serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor.

"Pusat sukan ini mula menerima pesakit pada 14 Disember lalu dan dalam tempoh dua hari ini telah menempatkan 58 orang pesakit Covid-19 yang dirujuk dari daerah-daerah," katanya,

Tambah beliau, pengurusan dan perawatan klinikal pesakit Covid-19 di semua tiga lokasi itu iaitu PKRC Blok C ILKKM JB, enam wad Covid-19 Hospital Permai dan Kompleks Sukan Hospital Permai adalah di bawah pengurusan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru secara amnya.

Sebelum ini HEBHK di Kluang dijadikan Hospital Covid-19 bermula pada 25 Mac lalu yang menempatkan pesakit Covid-19 dari seluruh Johor untuk beberapa bulan.

Hospital itu diaktifkan semula pada 25 November lalu selepas bilangan kes positif gelombang ketiga Covid-19 meningkat di Johor.