Bekalan beras negara stabil

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan melaksanakan penambahbaikan program Insentif Benih Padi Sah (IBPS). (Gambar kecil: Ronald Kiandee)
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan melaksanakan penambahbaikan program Insentif Benih Padi Sah (IBPS). (Gambar kecil: Ronald Kiandee)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekalan makanan asas negara khususnya beras berada pada tahap yang stabil dan terkawal walaupun negara menghadapi cabaran pandemik Covid-19 ketika ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kerajaan juga sentiasa mengutamakan sekuriti makanan negara supaya bekalan makanan asas sentiasa terjamin.

Katanya, kerajaan akan terus menggiatkan usaha meningkatkan tahap pengeluaran makanan negara melalui pelbagai inisiatif yang diambil.

“Antara inisiatif kerajaan termasuk merancakkan aktiviti pengeluaran makanan dengan pemberian subsidi, insentif input, penyediaan khidmat nasihat teknikal dan meningkatkan keberkesanan pengeluaran,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara pada Rabu.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Jefridin Atan berhubung inisiatif yang boleh dilakukan bagi meningkatkan pengeluaran makanan asas khususnya beras yang produktivitinya terkesan akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, bagi tujuan meningkatkan hasil pengeluaran padi, kerajaan melaksanakan beberapa inisiatif termasuk Pengurusan Nutrien Lokasi Spesifik atau soil profiling, pendekatan konsep pengurusan tanah sawah iaitu Sawah Berskala Besar (SBB) menerusi penglibatan entiti swasta dalam rantaian penanaman padi dan pengeluaran beras.

“Inisiatif itu diperkasakan dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0 2021-2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12 2021-2025,” katanya.

Sementara itu, Ronald berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan melaksanakan penambahbaikan program Insentif Benih Padi Sah (IBPS).

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, langkah itu bagi menjamin mutu perkhidmatan, selain memberikan hak kepada pesawah untuk memilih jenis benih padi terbaik untuk ditanam di sawah mereka.

“MAFI akan melaksanakan beberapa inisiatif bermula tahun 2021.

“Pertama, melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai pemborong tunggal dalam IBPS.“Kedua, pelantikan Nafas akan membolehkan penetapan harga siling benih padi sah tanpa melibatkan tambahan peruntukan insentif kerajaan.

“Ketiga, lesen dan permit diberikan kepada ejen, individu atau syarikat berdaftar dengan kerajaan,” katanya.