Petugas kesihatan alami alergi serius selepas divaksin

Petugas kesihatan di Alaska, Amerika Syarikat mengalami alergi yang serius selepas menerima vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech. - Foto AFP
Petugas kesihatan di Alaska, Amerika Syarikat mengalami alergi yang serius selepas menerima vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Seorang petugas kesihatan di Alaska, Amerika Syarikat (AS) mengalami alergi yang serius selepas menerima vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech.

Bagaimanapun individu yang dirawat di hospital pada Rabu dalam keadaan stabil.

Menerusi laporan New York Times, individu terbabit menerima suntikan pada Selasa, dan Pfizer mengesahkan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat insiden itu.

Sebelum ini, dua petugas kesihatan di Britain turut mengalami alergi, menyebabkan kerajaan negara itu memaklumkan kepada orang ramai untuk mengelak daripada menerima vaksin berkenaan jika pernah memiliki alergi yang teruk.

Pihak berkuasa AS mengeluarkan kelulusan kecemasan serta amaran supaya individu yang memiliki alergi terhadap bahan dalam vaksin perlu mengelak daripada menerimanya.

"Kami masih belum mendapat perincian laporan dari Alaska mengenai kemungkinan alergi serius, namun sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk menelitinya.

"Kami akan memantau semua laporan mengatakan alergi serius susulan mendapat vaksin dan memperbaharui bahasa pada label vaksin itu jika perlu," kata seorang jurucakap Pfizer.

ARTIKEL BERKAITAN: Panel penasihat FDA beri lampu hijau

Artikel Berkaitan:

UK beri amaran individu alahan serius elak ambil vaksin Covid-19

Enam maut ujian percubaan vaksin Pfizer/BioNTech

Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, semua 44,000 sukarelawan untuk ujian klinikal Prizer dikecualikan jika pernah mengalami alergi pada vaksin atau bahan dalam vaksin Covid-19.

Secara keseluruhan, ujian itu tidak berdepan sebarang isu keselamatan, namun pihak berkuasa serta syarikat itu memantau situasi selepas menerima vaksin berkenaan secara berterusan.

Minggu ini, AS sedang memberi vaksin kira-kira tiga juta rakyatnya dan berharap 20 juta rakyatnya menerima vaksin itu bulan ini jika satu lagi vaksin yang dibangunkan Moderna, diluluskan.