Zakat bantu asnaf terjejas

Syed Ali ketika ditemu bual di Wisma PPZ, Kuala Lumpur pada Selasa.
Syed Ali ketika ditemu bual di Wisma PPZ, Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pandemik Covid-19 yang melanda negara tahun ini membuktikan pentingnya peranan berzakat bagi membantu mereka yang memerlukan.

Bukan hanya golongan asnaf yang terjejas malah ada di antara golongan yang berpendapatan sederhana juga terkena tempiasnya apabila secara tiba-tiba hilang pekerjaan dan tiada sumber pendapatan.

Situasi tersebut menyebabkan bertambahnya asnaf baharu yang perlu dibantu dan dengan sumber zakat yang dikutip itu memberi sinar buat kepada golongan itu meneruskan kehidupan.

Zakat itu selain menyucikan harta, ia juga berperanan untuk membangunkan ekonomi umat Islam dengan merapatkan jurang antara golongan kaya dan asnaf dengan matlamat membasmi kemiskinan.

Kadar zakat hanya serendah 2.5 peratus daripada harta bagi mereka yang cukup syarat, namun masih ramai yang liat untuk menunaikan kewajipan itu kerana beranggapan akan mengurangkan harta mereka.

Tidak kurang juga yang masih sangsi dengan kaedah agihan zakat yang menyebabkan ada di antaranya yang lebih sanggup mengagihkan zakat secara sendiri tanpa saluran yang disediakan.

Pengerusi Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee berkata, pengoperasian kutipan dan agihan zakat bagi kawasan Wilayah Persekutuan adalah berbeza berbanding negeri lain.

Jelasnya, PPZ-MAIWP berperanan mengutip zakat yang kemudian wang tersebut diserahkan kepada Baitulmal MAIWP yang berperanan mengagihkan bantuan kepada asnaf yang memerlukan.

Artikel Berkaitan:

“Masih ramai kurang faham dengan skop tugas PPZ yang sepatutnya tiada unsur prasangka memandangkan kutipan yang diperoleh akan terus dipindahkan ke MAIWP secara harian,” jelasnya.

Mengulas lanjut, pihaknya memuji keprihatinan dalam kalangan individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memilih untuk menyalurkan bantuan terus kepada golongan sasar tanpa saluran kepada PPZ-MAIWP dan Baitulmal MAIWP.

PPZ-MAIWP turut melancarkan platform baharu kaunter zakat digital untuk menyenangkan orang ramai menunaikan kewajipan.
PPZ-MAIWP turut melancarkan platform baharu kaunter zakat digital untuk menyenangkan orang ramai menunaikan kewajipan.

“Kami puji tindakan itu namun tidak adil untuk menuding jari kepada pusat zakat atau Baitulmal-MAIWP sebagai pihak yang tidak menjalankan tugas dengan baik.

“Tugas membantu dan menyalurkan bantuan ini adalah tugas harian pusat zakat dan Baitulmal cuma kurang dihebahkan dalam media sosial membuatkan masyarakat tidak cakna akan usaha yang dilakukan bagi membantu mereka yang memerlukan.

“Oleh itu, saya mengajak orang ramai untuk sentiasa mengikuti laman sosial PPZ seperti Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube untuk sentiasa mendapatkan info terkini dan aktiviti harian kami,” katanya.

Syed Ali berkata, beliau berpandangan kesedaran umat Islam menunaikan tanggungjawab berzakat sudah meningkat apabila jumlah kutipan yang diperoleh saban tahun menunjukkan peningkatan.

Beliau berkata, PPZ-MAIWP sendiri tidak menyangka graf kutipan zakat tahun ini turut menunjukkan peningkatan walaupun ketika pandemik Covid-19.

“Tahun ini, kita cukup susah hati sebab Covid-19. Kita punya jangkaan jika kita dapat kutipan sama seperti tahun lepas sudah memadai, tetapi tahun ini jumlahnya terus meningkat.

“Ia termasuk peningkatan pembayaran secara dalam talian melalui portal iaitu berjumlah RM49 juta berbanding RM22 juta pada tahun sebelumnya. Kerana pandemik, pembayar zakat lebih senang berurusan secara dalam talian berbanding di kaunter,” katanya.

Menurutnya, PPZ-MAIWP akan terus meningkatkan kesedaran awam mengenai tanggungjawab berzakat dengan turun padang bertemu individu dan syarikat korporat bagi sesi penerangan dan pemahaman mengenai zakat.

“Kami turut melancarkan platform baharu kaunter zakat digital untuk menyenangkan orang ramai menunaikan kewajipan, tiada lagi alasan tidak mahu bayar zakat.

“Selain 10 kaunter PPZ-MAIWP yang boleh dilawati, perkhidmatan Skim Potongan Zakat Bulanan, Ride2U, kaunter zakat bergerak serta ejen kutipan zakat turut disediakan bagi kemudahan pembayar zakat,” kata beliau lagi.