Ungku Aziz ikon ilmuwan bangsa

No Image Caption
A
A
A

SAYANGNYA Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid (Pak Ungku) tidak disemadikan di Makam Pahlawan seperti sepatutnya.

Jasanya pada negara bukan kecil. Pak Ungku seorang ilmuwan, pemikir, pendidik, tokoh ekonomi dan budayawan yang tiada tandingnya.

Pak Ungku sesungguhnya ikon kebanggaan bangsa dan negara.

Saya masuk ke Universiti Malaya pada tahun 1974, enam tahun setelah beliau menjadi Naib Canselor. Penghujung tahun 1960-an dan awal 1970-an merupakan era kebangkitan pelajar.

Tidak mudah mentadbir sebuah universiti yang sedang menggelodak dengan aktivisme pelajar. Pada waktu yang sama, beliau harus terus memperkasa sebuah institusi pengajian tinggi yang tertua dan paling dihormati.

Universiti Malaya juga harus memberi peluang kepada pelajar dari luar bandar.

Pendidikan merupakan batu loncatan penting untuk mobiliti sosial Dasar Ekonomi Baru (DEB) menuntut keperluan untuk menyusun semula masyarakat serta menambah bilangan profesional Melayu.

Pak Ungku dan Universiti Malaya perlu membuat banyak penyesuaian. Kecemerlangan akademik dan kualiti pendidikan harus dipertahankan.

Artikel Berkaitan:

Sebagai contoh, Universiti Malaya menyediakan pendidikan asas untuk pelajar Melayu dari luar bandar mempersiapkan diri mengikuti kursus aliran sains.

Selama 20 tahun, beliau menjadi Naib Canselor Universiti Malaya. Universiti Malaya dan beliau menjadi senama.

Tetapi Pak Ungku lebih daripada sekadar seorang Naib Canselor.

Beliau contoh public intellectual yang sebenar. Beliau tidak sekadar berteori dari menara gading.

Beliau mengambil perhatian aspek kajian yang membabitkan soal kemiskinan di kalangan orang Melayu.

Sebagai contoh beliau memperkenalkan ‘Indeks Sarung’ (Sarung Index) sebagai penunjuk kadar kemiskinan di kalangan orang Melayu pada tahun 1950-an dan 60-an.

Teori itu bertolak daripada berapa banyak kain sarung dalam isi rumah (household) dan dibahagikan dengan penghuni rumah itu (tolak bayi dan anak kecil). Semakin kurang bilangannya semakin tinggi kadar kemiskinan.

Indeks Sarung itu juga ada kaitannya dengan Theory of Neglect (Teori Pengabaian) dalam masyarakat.

Dengan pengamatan dan pendekatan praktikal seperti inilah beliau membuat analisis isu kemiskinan luar bandar. Namun demikian beliau percaya kemiskinan tidak mengenal kaum.

Kedudukan ekonomi orang Melayu berhubung rapat dengan nilai, pandang dunia (worldview) dan psyche bangsa itu.

Pak Ungku juga melihat tiga faktor yang menjadikan kemiskinan kronik luar bandar – produktiviti rendah, diskriminasi dan kekangan institusi.

Pandangan

Beliau banyak menyuarakan pandangan bagi membetulkan keadaan itu. Dalam konteks itu, beliau melihat kelemahan daya fikir dan kurangnya semangat daya maju dalam kalangan masyarakat Melayu.

Buku tulisan Ungku Aziz.
Buku tulisan Ungku Aziz.

Analisis beliau tentang pemikiran Pendeta Zaaba (Zainal Abidin Ahmad) diabadikan dalam buku Jejak-Jejak Di Pantai Zaman (1975).

Pak Ungku bersetuju dengan Zaaba bahawa kemiskinan orang Melayu bukan dalam konteks kekurangan pemilikan harta benda sahaja tetapi juga kekurangan pengetahuan dan potensi untuk memajukan diri.

Pak Ungku menganggap pandangan Zaaba tentang soal kemiskinan desa masih relevan. Sejak awal lagi Zaaba sudah menyuarakan pandangan jujurnya tentang isu kemiskinan tetapi tidak banyak yang mempedulikannya.

Pendekatan praktikal Pak Ungku jelas dengan cadangan mengenai penubuhan sebuah institusi yang mengumpul dana dan menguruskan bakal haji.

Orang Melayu banyak berkorban untuk menunaikan haji. Ada yang terpaksa menjual harta atau berhutang. Cadangan Pak Ungku memungkinkan lahirnya institusi yang dikenal sebagai Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH).

Demikian juga Pak Ungku menganggap dengan keupayaan sendiri, orang Melayu tidak mungkin dapat mewujudkan syarikat besar. Maka itu beliau melihat peranan gerakan koperasi. Angkasa sebagai badan apex gerakan koperasi akhirnya menjadi kenyataan.

Pak Ungku menyedari pentingnya mengenal sesuatu bangsa melalui khazanah seni budaya dan sasteranya.

Beliau menelaah ribuan “haiku” Jepun untuk memahami minda orang Jepun. Beliau menganggap pantun sebagai manifestasi seni sastera orang Melayu.

Bagi beliau, pantun adalah bukti daya akal dan kreativiti orang Melayu. Pantun merupakan ‘daya cipta yang canggih’.

Beliau menggunakan perkataan ‘genius’ untuk menggambarkan daya cipta luar biasa itu. Seni pantun yang berusia lebih 700 tahun menghabiskan banyak waktunya.

Sewaktu menyampaikan Syarahan Perdana Tun Sri Lanang di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Pak Ungku yang telah mengkaji 16,000 pantun telah memilih 78 sebagai bahan rujukan.

Syarahan ini kemudiannya telah diabadikan dalam buku Pantun dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu (2011).

Saya diberi penghormatan untuk menulis prakata buku ini, sesuatu yang sangat saya hargai. Saya memberikan judul tulisan itu ‘Menjejak Kebijaksanaan.’

Saya mengagumi usaha Pak Ungku melihat pantun dari kerangka yang berbeza. Beliau melihat minda Melayu yang sebenar dengan sekala kompleksitinya – kekuatan serta kelemahan.

Beliau memberitahu saya bahawa beliau dalam proses mengkaji 20,000 pantun lagi. Sekali lagi beliau meminta saya membuat prakata hasil yang bakal disiapkannya.

Mungkin usaha itu tidak dapat diteruskan akibat keuzurannya. Tetapi saya yakin, beliau yang sentiasa begitu teliti, sudah menyiapkan catatan tentang pantun-pantun yang ditelaahnya.

Pada hari Selasa lalu, beliau menghembuskan nafas yang terakhir. Usianya mencecah 98 tahun. Kita kehilangan tokoh pertama yang dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah Merdeka (Merdeka Award) dalam kategori Pendidikan dan Komuniti.

Pemergian beliau ibarat yang patah tidak akan tumbuh dan hilang pasti tiada gantinya. Al-Fatihah.

* Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau pernah menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pengerusi Media Prima Berhad