Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020 kembali berlangsung

Baki empat pusingan Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020 akan berlangsung tanpa kehadiran penonton.
Baki empat pusingan Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020 akan berlangsung tanpa kehadiran penonton.
A
A
A

KEJUARAAN Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020 sudah mendapat 'lampu hijau' daripada pihak kerajaan untuk menyambung semula baki empat pusingan perlumbaan yang bakal berlangsung di Litar Sepang Utara.

Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Ron Hogg berkata, pihaknya berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan Negara (KBS), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta semua agensi-agensi kerajaan terlibat atas kelulusan khas itu.

"Tidak dinafikan, jadual perlumbaan seperti ini sememangnya membebankan pasukan dan pelumba. Namun, semua pasukan bersetuju ini adalah cara paling selamat untuk menamatkan musim ini.

"Bagi pihak warga Cub Prix, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang amat prihatin terhadap keperitan yang dialami oleh pengiat sukan permotoran dalam situasi ini.

"Diharapkan kelulusan yang diberikan ini menjadi sinar agar sektor sukan dapat dibuka semula seperti mana yang dimaklumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan.

"Yang pasti, warga Cub Prix akan mematuhi segala SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang perkara yang tak diingini berlaku," kata Ron dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi mematuhi SOP penganjuran sukan semasa, empat pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020 akan berlangsung tanpa kehadiran penonton.

"Bagaimanapun, para peminat sukan permotoran tempatan boleh mengikuti aksi-aksi hebat dari empat pusingan terakhir ini secara langsung di laman Facebook Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS, TV2, RTM Sports, Astro SuperSports Saluran 811 dan Astro Arena," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Kalendar separuh kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020 adalah seperti berikut:

Pusingan 5 & 6 - Sepang Utara (18 hingga 20 Disember)

Pusingan 7 & 8 - Sepang Utara (22 hingga 24 Disember)