X

Kindly register in order to view this article
!

Tahun 2020 penuh ujian

A
A

KITA akan meninggalkan tahun 2020 tidak lama lagi. Kebiasaannya, apabila tiba bulan Disember, terutama pada musim cuti sekolah, ramai yang akan mengambil peluang balik kampung untuk bertemu ibu ayah dan sanak saudara.

Ada juga yang pergi menunaikan umrah atau bercuti.

Anak-anak adalah golongan yang paling seronok kerana inilah masa untuk mereka bercuti bersama keluarga baik di dalam negara atau di luar negara setelah penat belajar daripada awal tahun.

Para ibu bapa juga pada kebiasaannya akan membuat perancangan awal untuk percutian akhir tahun.

Walaupun bukan semua mampu untuk pergi bercuti baik di dalam negara atau di luar negara, tapi bulan Disember memang memberikan satu kelegaan kepada mereka yang bekerja atau yang belajar.

Inilah masanya untuk mereka merancang bagi melakukan sesuatu yang disukai dan mengenepikan buat sementara urusan berkaitan dengan kerja atau pelajaran.

Itulah yang berlaku pada tahun-tahun sebelum dunia diuji dengan pandemik Covid-19.

Pada tahun 2020 ini, bermula daripada awal tahun lagi sehingga kini, boleh dikatakan kita lebih banyak berada dalam rumah daripada luar rumah.

Maka sudah tentulah aktiviti yang boleh dilakukan adalah terhad dan terbatas.

Anak-anak biasanya akan lebih fokus kepada gajet. Selain daripada mengikuti kelas secara dalam talian, mereka bermain permainan dalam talian atau menonton video di YouTube dan sebagainya.

Semuanya berpusat kepada gajet. Itulah hakikat dunia generasi sekarang.

Bukan sahaja anak-anak yang asyik duduk di hadapan gajet, para ibu bapa juga tidak dapat lari daripada gajet kerana mereka tetap perlu menjalankan urusan kerja walaupun berada di rumah.

Malah pengalaman saya sepanjang musim Covid-19 ini, peratus menghadap komputer lebih tinggi berbanding menghadap manusia.

Manakan tidak, semua urusan secara dalam talian sama ada mesyuarat atau seminar dan juga apa jua bentuk latihan yang dihadiri.

Itulah realiti yang terpaksa dihadapi. Kalau bekerja di pejabat, sampai masa kita akan pulang ke rumah. Pada kebiasaannya, kerja akan disambung semula pada keesokan harinya.

Tetapi berbeza pada tahun ini, kerja seolah-olah tiada batasan masa.

Kalau sebelum wabak Covid-19 melanda, pada kebiasaannya minggu ketiga dan keempat pada bulan Disember, tiada lagi aktiviti seperti mesyuarat dan sebagainya. Ibarat kata, gear kerja bertukar ke gear satu (1).

Tetapi pada tahun ini, menjelang akhir tahun, gear kerja kekal pada nombor lima (5).

Semua orang seolah-olah terlalu obses terhadap kerja kerana tiada perkara lain yang boleh dilakukan dalam keterbatasan pergerakan sekarang ini walaupun rentas daerah dan negeri sudah dibenarkan.

Saya melihat gaya kehidupan sekarang ini amat tidak menyihatkan baik dari segi mental atau fizikal. Keterbatasan bergerak membuatkan masing-masing banyak menghabiskan masa di rumah.

Dan hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah masa lebih banyak dihabiskan bersama gajet.

Malah tidak mustahil jika keadaan sebegini berterusan hingga dua tiga tahun lagi, ada kebarangkalian hubungan persaudaraan pun makin longgar.

Bukan itu sahaja, masing-masing menjadi lebih keakuan (selfish) daripada menjadi seorang yang mengambil tahu hal sanak saudara dan sebagainya sekiranya keadaan tersebut tidak ditangani dengan baik.

Ya, itulah ujian pada tahun 2020, satu tahun yang sebelumnya diharapkan akan membuahkan sesuatu yang hebat berdasarkan perancangan manusia. Tetapi perancangan ALLAH mengatasi perancangan manusia.

Tahun ini adalah tahun yang memusnahkan segala perancangan manusia. Itulah takdir ALLAH yang Maha Berkuasa atas segala-galanya. Semoga banyak pengajaran yang kita dapat daripada ujian ini. Wallahuaklam.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!