Penduduk Kampung Manis bakal diusir

Ramasamy ketika mengadakan sidang akhbar selepas bertemu penduduk Kampung Manis tengah hari tadi.
Ramasamy ketika mengadakan sidang akhbar selepas bertemu penduduk Kampung Manis tengah hari tadi.
A
A
A

PERAI - Lebih 200 keluarga di Kampung Manis di sini mungkin akan diusir selepas mereka menerima notis mengosongkan tanah daripada Perbadanan Aset Keretapi (RAC) pada Selasa.

Mereka mendakwa menerima notis itu tanpa sebarang perbincangan dilakukan sebelum ini dan hanya diberikan tempoh selama enam bulan untuk mengosongkan rumah atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

Rata-rata mereka kecewa apabila pihak RAC hanya mahu mengusir mereka keluar dari rumah yang telah dihuni hampir empat generasi tanpa memberi sebarang pampasan ataupun rumah ganti.

Hetijah Ariffin
Hetijah Ariffin

Penduduk, Hetijah Ariffin, 69, berkata, mereka hairan mengapa setelah bertahun-tahun menetap di situ, tetapi baru hari ini pihak RAC memberi notis untuk keluar dari kawasan itu.

"Saya duduk di sini sejak 1975, waktu itu hanya hutan. Bukannya ada pagar dan ceroboh masuk.

"Sejak dahulu lagi tidak pernah diberi notis untuk keluar, kenapa hari ini baru mahu bagi setelah keluarga kami semakin membesar," katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Penduduk telah tinggal di Kampung Manis hampir empat generasi.
Penduduk telah tinggal di Kampung Manis hampir empat generasi.

Artikel Berkaitan:

Hetijah yang sebelum ini bekerja di sebuah kilang berhampiran rumah mereka berkata, mereka buntu sekiranya diusir begitu sahaja tanpa seberang pampasan berikutan mereka bukan dari kalangan orang yang berada.

"Suami dulu kerja kapal sebagai buruh, kami tiada pencen atau apa-apa.

"Sebab itu akhirnya terus menetap di sini, memanglah nak rumah yang elok-elok tapi tiada pilihan lain," katanya.

N Anjali
N Anjali

Seorang lagi penduduk, N Anjali, 86, berkata, dia tinggal di kampung berkenaan sejak 70 tahun lalu daripada sebuah perkampungan kecil hingga mempunyai ratusan rumah.

Katanya, walaupun serba kekurangan di sini, namun dapat menjalani kehidupan seharian yang selesa.

"Saya tidak boleh bayangkan sekiranya kami dipaksa keluar dari kampung yang sekian lama menjadi tempat tinggal kami.

"Ke mana saya hendak pergi kalau diusir begitu sahaja? Adakah sanggup RAC melihat penduduk kampung yang miskin ini hidup merempat dan tinggal di kaki lima atau bawah jambatan," katanya.

Difahamkan, Kampung Manis ini dihuni 200 keluarga.

Kampung Manis
Kampung Manis

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Dr P Ramasamy berkata, pihaknya kesal apabila agensi berkenaan menggambarkan seolah-olah pihaknya bersetuju dengan pengusiran yang akan dilakukan itu seperti ditulis di dalam notis yang diberikan kepada penduduk.

Beliau berkata, tiada sebarang perbincangan dilakukan antara RAC dengan pihaknya mengenai perkara itu sebaliknya hanya satu lawatan tapak yang diadakan pada 24 Ogos lalu bagi meninjau keadaan penduduk di sini.

"Wakil saya tidak diberitahu mengenai sebab sebenar di sebalik lawatan tersebut selain meninjau keadaan hidup penduduk di sana.

"Saya kecewa kerana pihak RAC tidak telus dalam isu ini. Sekiranya mahu menjalankan pembangunan di sini mari datang berbincang dengan ADUN dan kita bukannya menghalang pembangunan diadakan di sini tapi biarlah kebajikan penduduk turut dibeli," katanya ketika mengadakan sidang akhbar selepas bertemu penduduk Kampung Manis hari ini.

Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II berkata, selagi tiada perbincangan dengan pihaknya, pihak RAC usah bermimpi untuk lakukan sebarang pembangunan di sini.

Sebaliknya beliau berkata, penyelesaian hanya dapat dicapai jika RAC memberikan tanah alternatif atau pampasan yang layak untuk penduduk terlibat.

"Mereka tidak harus dikeluarkan secara paksa atas dasar ini tanah milikan RAC, namun hal ini harus diselesaikan melalui rundingan.

"Di Pulau Pinang, kami tidak membenarkan perkara sebegini berlaku. Mungkin undang-undang menyebelahi RAC, tetapi ini tidak bermakna pengusiran penduduk secara paksa adalah perkara yang dibenarkan," katanya.

Sementara itu, usaha Sinar Harian untuk mendapat penjelasan daripada pihak RAC gagal apabila tidak dapat dihubungi.