Hamidin pertahan pelantikan Yusri

Hamidin (dua dari kiri) bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (tengah) memegang logo Skuad Projek FAM-MSN di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis lalu. Turut kelihatan Yusri (kanan). FOTO: FB FAM
Hamidin (dua dari kiri) bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (tengah) memegang logo Skuad Projek FAM-MSN di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis lalu. Turut kelihatan Yusri (kanan). FOTO: FB FAM
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mempertahankan pelantikan bekas pemain kebangsaan, Yusri Che Lah selaku Ketua Jurulatih Skuad Projek FAM-Majlis Sukan Negara (MSN).

Hamidin menyifatkan Yusri, 44, seorang jurulatih meningkat naik yang memiliki potensi dan pemilihan beliau diputuskan secara kolektif selepas melalui proses penilaian teliti serta beberapa siri temu duga dikendalikan Jawatankuasa Teknikal FAM-MSN.

Menurutnya, bekas pemain tengah pasukan Perlis itu sewajarnya diberi ruang dan peluang membuktikan kemampuan membimbing Skuad Projek FAM-MSN dalam saingan Liga Premier bermula musim depan.

"Seseorang jurulatih itu tidak boleh dinilai berdasarkan rekodnya sebagai pemain, sama ada beliau seorang pemain bintang atau tidak. Ia kerana terbukti ada pemain bintang tidak berjaya menjadi jurulatih yang baik.

"Saya fikir banyak pihak gembira dengan pelantikan Yusri sebagai ketua jurulatih jadi kita berilah beliau peluang. Beliau ada lesen pro (lesen kejurulatihan Pro A) dan seorang jurulatih sedang meningkat naik," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Keempat MFL di sini pada Rabu.

Pada Selasa, legenda bola sepak tanah air, Khalid Ali mempersoalkan keputusan FAM dan MSN membangunkan bakat muda menerusi pembentukan Skuad Projek FAM-MSN yang dianggap tidak mengikut lunas pembangunan kumpulan pemain itu susulan penyertaan pasukan itu dalam Liga Premier.

Beliau juga mendakwa struktur pentadbiran dan kejurulatihan pasukan tersebut turut diisi individu tidak berkelayakan yang merujuk kepada pelantikan Yusri selaku ketua jurulatih skuad berkenaan, malah tidak mempunyai pengetahuan tinggi dan berpengalaman luas dalam soal pembangunan bola sepak.

"Itu pandangan Khalid Ali, kita (FAM) dan MSN telah membuat proses temu duga itu yang turut dinilai dari aspek teknikal. Kita sudah memilih beliau dan perlu bagi peluang kepadanya," kata Hamidin.

Artikel Berkaitan:

Yusri memiliki 42 penampilan antarabangsa bersama skuad kebangsaan dari 1997-2002 selain pernah beraksi untuk pasukan Perlis, Selangor dan Perak sebelum bersara pada 2007.

Anak jati Kangar, Perlis itu yang memulakan kerjaya selaku jurulatih pada 2009 berpengalaman membawa skuad Perlis di peringkat Piala Presiden serta Sukan Malaysia (Sukma), pasukan MyKids dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Felcra FC, Kuala Lumpur dan Kelantan. - Bernama