X

Kindly register in order to view this article
!

Bomba selamatkan wanita cuba bunuh diri

Wanita yang mahu membunuh diri berjaya diselamatkan pihak bomba.
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang wanita daripada cubaan membunuh diri di Apartment Twin Danga Residence, Kampung Sungai Danga di sini hari ini.

Dalam kejadian pada jam 5.23 petang, wanita berusia 26 tahun itu mulanya mahu terjun dari tingkat 10 bangunan berkenaan, bagaimanapun rakan dan penduduk setempat yang menyedari perbuatannya cuba memujuk tetapi gagal.

Bimbang wanita berkenaan nekad terjun dari bangunan tersebut, seorang daripada mereka menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin untuk mendapatkan bantuan.

Seramai 12 anggota, satu jentera Fire Rescue Team (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke tempat kejadian.

Komander Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II, Nazarudin Yusof berkata, setibanya di lokasi pihaknya mendapati wanita itu sedang berdiri di beranda luar tingkat 10 bangunan tersebut untuk cuba membunuh diri.

"Anggota bertindak memasang 'air cushion' di tingkat bawah sementara anggota lain cuba memujuk mangsa untuk kembali masuk ke dalam bangunan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Anggota bomba memasang 'air cushion' sebagai persediaan sekiranya seorang wanita terbabit nekad terjun dari tingkat 10 di Apartment Twin Danga Residence, Kampung Sungai Danga, Johor Bahru hari ini.
Anggota bomba memasang 'air cushion' sebagai persediaan sekiranya seorang wanita terbabit nekad terjun dari tingkat 10 di Apartment Twin Danga Residence, Kampung Sungai Danga, Johor Bahru hari ini.

Katanya, pada masa sama, dua anggota lain melakukan teknik 'rapelling' dari tingkat 11 untuk turun ke tingkat 10 iaitu tempat mangsa berada.

"Mangsa kemudiannya berjaya ditolak masuk kembali ke dalam bangunan dengan selamat, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, wanita berkenaan berada dalam keadaan selamat dan operasi tersebut ditamatkan pada jam 6.36 petang.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!