Harimau Malaya mula sesi latihan pusat Januari depan

Skuad Harimau Malaya tidak mengikuti kem latihan pusat sepanjang tahun ini ekoran penularan pandemik Covid-19. Foto Facebook FAM
Skuad Harimau Malaya tidak mengikuti kem latihan pusat sepanjang tahun ini ekoran penularan pandemik Covid-19. Foto Facebook FAM
A
A
A

SKUAD bola sepak kebangsaan dijangka memulakan sesi latihan pusat dari 15 hingga 26 Januari depan sebagai persediaan menghadapi baki tiga perlawanan Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang bakal bersambung pada Mac 2021.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe dijangka menyenaraikan 30 pemain bagi sesi latihan itu di Wisma FAM, Kelana Jaya yang menjadi medan penting mendapatkan keserasian antara pemain lama dan baharu.

Beliau turut memaklumkan skuad Harimau Malaya bakal diuji oleh pasukan ranking ke-97 dunia, Bahrain pada aksi persahabatan di Manama pada awal Mac, sebelum berkunjung ke Abu Dhabi untuk berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan keenam pusingan kedua kelayakan berkenaan pada 25 Mac.

“Pada sesi latihan itu, Tan akan cuba beberapa pemain baharu dan tengok kesesuaian mereka dengan percaturan beliau untuk baki pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac tahun depan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat rakan kongsi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) keempat di sini hari ini.

Skuad Harimau Malaya sepatutnya mengharungi aksi timbal balik pusingan kedua kelayakan Kumpulan G dengan bertandang ke UAE pada 8 Oktober 2020 sebelum menerima kunjungan Vietnam pada 13 November, disusuli aksi bertemu Thailand pada 17 November di Bangkok.

Namun, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), menangguhkan baki aksi kempen tersebut kepada Mac 2021 susulan penularan pandemik Covid-19.

Selepas aksi berdepan UAE, skuad Harimau Malaya dijadual melayan kunjungan pendahulu Kumpulan G, Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 30 Mac 2021, sebelum melengkapkan aksi pusingan kedua kelayakan berdepan Thailand pada 15 Jun 2021 di Bangkok.

Malaysia kini menduduki tangga kedua Kumpulan G menerusi kutipan sembilan mata selepas lima perlawanan (tiga kemenangan, dua kekalahan). - Bernama

Artikel Berkaitan: