Individu ingkar arahan PKP meningkat

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah individu ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus meningkat kepada 235 semalam berbanding 201 kelmarin, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 233 individu telah dikompaun manakala dua orang individu pula direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (82), tidak memakai pelitup muka (81), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (57) dan lain-lain (15).

“Mereka telah dikompaun menerusi pelbagai kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka dan gagal mematuhi penjarakan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan perkembangan PKP, hari ini.

Ismail Sabri berkata, bagi Operasi Benteng semalam turut menahan 40 pendatang tanpa izin, lima penyeludup serta merampas tujuh kenderaan darat, empat bot selain melaksanakan 117 sekatan jalan raya.

Tegasnya, kerajaan akan terus memperketatkan kawalan sempadan negara terutamanya di lorong-lorong tikus bagi mengekang mana-mana pihak daripada cuba memasuki sempadan negara secara haram.

Perkembangan yang baik juga turut dicatatkan apabila kesemua 20 tapak binaan di seluruh Malaysia dan kesemua tapak binaan yang diperiksa telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. - Bernama

Artikel Berkaitan: