Syarikat kartel daging haram bakal diheret ke mahkamah

Antara laporan muka depan Sinar Harian berkaitan isu kartel daging haram.
Antara laporan muka depan Sinar Harian berkaitan isu kartel daging haram.
A
A
A

PUTRAJAYA - Syarikat tempatan yang dipercayai terlibat dengan kartel daging haram ditukar menjadi halal bakal didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor dalam masa terdekat atas tuduhan penyalahgunaan perkataan halal.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, pihaknya telah mendapat izin daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk membuat pertuduhan terhadap syarikat berkenaan.

"Pendakwaan akan dibuat dalam masa terdekat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011," katanya pada sidang akhbar bersempena majlis paluan berundur yang meraikannya bakal bersara wajib esok.

ARTIKEL BERKAITAN: 30 pusat pengedaran dipercayai ada kaitan kartel

Kartel ciplak tiga jenama daging Australia

Kartel henti operasi seketika

Menurutnya, syarikat berkenaan turut disiasat berhubung label pada bungkusan daging tersebut.

"Syarikat berkenaan sedang disiasat di bawah akta lain dan ia mungkin mengambil masa untuk kita mencari bukti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, KPDNHEP turut menjalankan siasatan terhadap jaringan pasaran daging haram tersebut.

"Kita tengok sama ada ia dijual terus kepada pengguna atau dihantar kepada restoran-restoran. Ini sedang disiasat," katanya.

Terdahulu, Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyifatkan banyak sumbangan besar dilakukan Iskandar sejak 40 tahun berkhidmat dengan kementerian itu.

"Beliau banyak membantu kementerian dalam memantau peniaga- peniaga yang tidak beretika," katanya.

Pada majlis itu, Iskandar memeriksa perbarisan kawalan kehormatan penguatkuasa KPDNHEP buat kali terakhir dalam perkhidmatannya.

Iskandar memulakan tugasnya sebagai Merinyu Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dan Perindustrian Malaysia di Sabah pada tahun 1981.

Sebelum ini, Sinar Harian membongkar taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.