Dah bercerai, tapi tetap 'bersama' edar dadah

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Walaupun sudah bercerai, bekas pasangan suami isteri ‘menjalinkan’ hubungan selepas disyaki mengedar dadah di sekitar Lembah Klang dalam dua serbuan berasingan di sebuah kondominium di Cheras di sini Isnin lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya menahan seorang suspek lelaki tempatan berusia 66 tahun di tempat letak kereta kondominium berkenaan pada jam 5.30 petang hari sama.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap lelaki berkenaan polis merampas dadah disyaki jenis ketamin seberat 16.5 gram.

“Selepas soal siasat dibuat, kami pergi ke sebuah rumah di kondominium berkenaan dan menahan seorang wanita tempatan berusia 45 tahun pada 7.10 malam hari yang sama,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Saiful Azly berkata, pemeriksaan dilakukan di kediaman itu menemukan beberapa jenis dadah iaitu ketamin seberat 5,635 gram, serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 29,032 gram serta cecair MDMA seberat 31,350 milimeter.

Beliau berkata, pihaknya juga menemukan 1,000 pil erimin 5 seberat 309 gram serta 1,900 pil ekstasi seberat 632 gram di dalam sebuah kereta Proton Wira ketika pemeriksaan dilakukan di tempat letak kenderaan di kondominium terbabit.

Saiful Azly berkata, kesemua dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM2.15 juta dan boleh dibekalkan kepada 39,000 pengguna.

“Selain itu, kami juga menyita sebuah kenderaan dianggarkan bernilai RM5,000 serta wang tunai berjumlah RM4,700.

Artikel Berkaitan:

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek pernah berkahwin namun bercerai tetapi masih aktif melakukan kegiatan pengedaran dadah jenis serbuk MDMA, ketamin, ekstasi dan erimin 5 di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lepas,” katanya.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek wanita berkenaan mempunyai rekod berkaitan kes dadah selain hasil ujian saringan air kencingnya positif dadah jenis methamphetamine manakala suspek lelaki pula negatif dadah.

“Kedua-dua suspek berkenaan direman selama enam hari bermula semalam hingga Ahad ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. - Bernama