X

Kindly register in order to view this article
!

Asrama pekerja asing umpama 'tin sardin'

Zaini (tengah) mendengar penerangan berkaitan tempat tinggal pekerja asing di sebuah asrama pekerja kilang perabot di Jalan Ayer Manis dekat sini pada operasi yang dilakukan jabatan berkenaan pada Rabu.- Foto: Bernama
A
A

MUAR - Majikan digesa agar mematuhi syarat dalam Akta 446 bagi menyediakan penginapan selesa kepada pekerja asing mereka di negara ini lebih-lebih lagi dalam senario pandemik Covid-19 yang belum berakhir.

Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Zaini Yaacob berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang bersikap sambil lewa dan tidak mematuhi spesifikasi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 atau Akta 446.

“Majikan (kepada pekerja asing) terbabit akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 24D(1) Akta 446 kerana tiada perakuan penginapan.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM50,000 manakala bagi kesalahan penyedia penginapan berpusat boleh didenda maksimum sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas operasi ke tempat tinggal pekerja asing di sebuah kilang perabot di Jalan Ayer Manis dekat sini hari ini.

Pemerhatian Bernama juga mendapati asrama yang menempatkan seramai 321 pekerja asing terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh, Nepal dan Pakistan itu boleh diibaratkan umpama ‘asrama tin sardin’.

“Tempat tinggal pekerja asing terbabit juga didapati tidak terurus apabila bahagian tandasnya kotor dan tersumbat di samping beberapa unit tidak berfungsi,” kata Zaini.

Katanya, melalui siasatan awal, asrama pekerja asing yang asalnya sebuah bekas kilang itu juga tiada perakuan penginapan daripada JTKSM selain tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Daripada operasi yang dilakukan, asrama mereka tidak ubah seperti sebuah bangsal... tempat tidur mereka dibina menggunakan papan lapis, seolah-olah kotak yang disusun secara bertingkat-tingkat...tidak mempunyai tilam,” katanya.

Operasi bersepadu bersama-sama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) itu turut dihadiri Pengarah JTK Negeri Johor, Nasir Kassim.

Pada 3 Disember lepas, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan mendedahkan pada persidangan Dewan Rakyat bahawa lebih 90 peratus penginapan pekerja asing yang disediakan majikan mereka di negara ini, tidak mematuhi Akta 446 yang membabitkan jumlah 1.4 juta pekerja.

Katanya, setakat 30 Oktober lepas, kerajaan hanya menerima permohonan Perakuan Penginapan membabitkan 143,587 atau 8.89 peratus daripada 1.6 juta pekerja asing di negara ini. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!