Penduduk Meru bantah penamatan PKPD asrama Top Glove

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Top Glove ditamatkan Isnin lalu. - Foto Bernama
Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Top Glove ditamatkan Isnin lalu. - Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Lebih 30,000 masyarakat yang tinggal di Meru membantah penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di asrama pekerja kilang Top Glove Isnin lalu.

Penduduk bimbang dengan tamatnya PKPD ini menyebabkan kadar kebolehjangkitan wabak serta penularan wabak Covid-19 akan meningkat selepas ini.

Perkara ini diluahkan oleh Gerakan Masyarakat Prihatin SeMalaysia menerusi laporan polis yang dibuat di Balai Polis Meru, Klang hari ini.

Presidennya, S.Hassan Kuthoos S.Ahmed Kabeer berkata, NGO yang mewakili warga Meru membantah sekeras-kerasnya penamatan PKPD di asrama kilang terbabit.

"Kami sebagai warga Meru bimbang dengan penamatan PKPD ini sekali gus akan mengakibatkan wabak Covid-19 menular dengan meluas, umum kita ketahui, warga asing ini ramai, kita bimbang mereka akan bergerak bebas di kawasan Meru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPD Top Glove: Kerajaan jangan 'double standard'

PKPD di asrama pekerja Top Glove

"Kita juga tidak tahu berapa ramai lagi yang dijangkiti wabak Covid-19 ini dalam kalangan mereka, jadi bila PKPD tamat mereka pastinya akan bebas mengunjungi pasaraya, kedai dan sebagainya, kita tak tahu keadaan sebenar mereka, ini yang kita bimbangkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang diadakan di Meru selepas laporan polis dibuat di Balai Polis Meru, Klang hari ini.

Presidennya, S.Hassan Kuthoos S.Ahmed Kabeer menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Meru hari ini.
Presidennya, S.Hassan Kuthoos S.Ahmed Kabeer menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Meru hari ini.

Mengulas lanjut, S.Hassan Kuthoos berkata, dalam soal ini semua pihak baik kerajaan negeri mahupun kerajaan Persekutuan harus bertanggungjawab.

"Kami mahukan satu kepastian dan jaminan bahawa dengan tamatnya PKPD ini, ia tidak akan memberikan sebarang kesan kepada warga Meru.

"Semua pihak termasuk Jabatan Kesihatan Selangor, Majlis Keselamatan Negara perlu bagi jaminan bahawa keselamatan penduduk di sini benar-benar selamat dengan penamatan PKPD," katanya.

Tambahnya, PKPD ini sepatutnya dilanjutkan dan bukan ditamatkan.

"Kami mewakili warga Meru memohon kepada pihak kerajaan agar mengkaji semula arahan ini kerana kita lihat kes positif Covid-19 ini masih lagi ada, jadi apakah kewajarannya PKPD ini ditamatkan.

"Kami memohon agar PKPD ini tidak ditamatkan sebaliknya perlu dilanjutkan demi keselamatan warga Meru secara keseluruhannya," katanya.

Terdahulu, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Asrama Top Glove, Meru ditamatkan Isnin lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat atas nasihat dan penilaian Kementerian Kesihatan.

Dengan penamatan PKPD ini, beliau mengarahkan syarikat Top Glove untuk mematuhi arahan berkaitan pengurusan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja.