Mahkamah tangguh keputusan rayuan wanita isytihar bukan Islam

Mahkamah Persekutuan
Mahkamah Persekutuan
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan rayuan seorang wanita supaya beliau diisytiharkan sebagai penganut Buddha dan bukan seorang beragama Islam.

Panel sembilan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menangguhkan keputusan terhadap rayuan, Rosliza Ibrahim selepas mendengar hujahan oleh pihak peguam perayu dan wakil responden.

“Mahkamah menangguhkan keputusan kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian,” kata Tengku Maimun.

Barisan hakim lain terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Rosliza memfailkan saman pemula pada 2015 untuk mendapatkan satu pengisytiharan bahawa beliau telah dilahirkan sebelum bapanya, seorang penganut agama Islam dan mendiang ibunya yang beragama Buddha berkahwin.

Dia mendakwa bahawa beliau bukan seorang penganut agama Islam, oleh itu Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa terhadapnya. Beliau mendakwa telah dibesarkan sebagai seorang penganut agama Buddha oleh mendiang ibunya.

Pada 22 Jun 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak saman pemula oleh wanita berusia 38 tahun itu dan rayuannya juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 25 April 2018.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Tun Abd Majid Tun Hamzah yang bersidang di Mahkamah Tinggi ketika itu menolak saman pemula itu atas alasan bukti yang dikemukakan pemohon hanya menunjukkan bahawa tiada pendaftaran perkahwinan dibuat sambil menambah bahawa perkara itu tidak membuktikan bahawa perkahwinan itu tidak berlaku.

Artikel Berkaitan:

Pada 20 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Rosliza untuk mendapatkan kebenaran bagi merayu berhubung dua isu perundangan yang perlu diputuskan mahkamah.

Terdahulu, peguam Rosliza, Datuk Seri Gopal Sri Ram, berhujah Mahkamah Tinggi Shah Alam terkhilaf apabila membuat keputusan dengan merujuk kes Lina Joy.

Beliau berkata, kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Raya terkhilaf untuk menyatakan bahawa kes anak guamnya berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Kami mengemukakan bahawa ini bukan kes untuk meninggalkan agama tetapi sebaliknya seorang yang bukan beragama Islam serta tidak mengamalkan ajaran agama itu sejak awal lagi.

“Oleh itu, mahkamah rendah gagal mengkelaskan kes berkenaan seperti sepatutnya,” katanya.

Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Datuk Salim Soib bertindak bagi kerajaan negeri Selangor dan peguam, Abdul Rahim Sinwan mewakili Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), selaku responden pertama dan kedua.

Kedua-dua responden berhujah bahawa Mahkamah Syariah adalah kuorum yang tepat untuk menentukan sama ada perayu adalah seorang Islam atau sebaliknya.

Menurut mereka, Rosliza adalah seorang beragama Islam berdasarkan dokumen semasa mengemukakan permohonan kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara.

Bagaimanapun, Hakim Tengku Maimun beberapa kali meminta kepastian daripada Salim dan Abdul Rahim mengenai status agama anak yang dilahirkan luar nikah di mana bapanya adalah Islam dan ibu bukan Islam.

Hakim Tengku Maimun: Katakanlah lelaki Islam dan wanita Buddha itu bersekedudukan dan lahir anak dari perhubungan itu. Adakah anak itu anak yang sah?

Abdul Rahim: Sekiranya mereka tidak berkahwin dan tiada bukti mereka berkahwin, maka anak itu tidak sah.

Hakim Tengku Maimun: Jika anak itu tidak sah, adakah anak itu mengikut agama ayahnya atau ibunya?

Abdul Rahim: Jika anak itu lahir tidak sah, agama anak itu mengikut ibunya.

Hakim Tengku Maimun: Jawapan itu adalah jelas mengikut prinsip-prinsip Islam?

Abdul Rahim: Betul

- Bernama