Lebih 1.6 juta kanak-kanak di AS dijangkiti Covid-19

Orang ramai menunggu untuk ujian Covid-19 di tempat ujian di Washington. Foto Xinhua
Orang ramai menunggu untuk ujian Covid-19 di tempat ujian di Washington. Foto Xinhua
A
A
A

WASHINGTON - Hampir 1,640,000 kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) disahkan dijangkiti Covid-19 sejak pandemik bermula, mewakili 12.2 peratus keseluruhan kes di seluruh negara, lapor Agensi Berita Xinhua.

Menurut laporan bersama Akademi Kanak-kanak Amerika (AAP) dan Persatuan Hospital Kanak-kanak, 178,823 kes baharu Covid-19 dilaporkan dalam tempoh seminggu dari 3 hingga 10 Disember, peningkatan mingguan tertinggi sejak pandemik bermula.

Ia juga menunjukkan peningkatan 23 peratus kes bagi tempoh dua minggu dari 26 November hingga 10 Disember, katanya.

Jumlah keseluruhan adalah 2,179 kes bagi setiap 100,000 kanak-kanak dalam populasi, kata laporan itu.

Kanak-kanak meliputi 1.2 peratus hingga 2.9 peratus daripada jumlah keseluruhan pesakit yang dilaporkan dimasukkan ke hospital, dan 0 hingga 0.21 peratus daripada jumlah kematian, menurut laporan itu.

"Walaupun kesan teruk Covid-19 jarang terjadi dalam kalangan kanak-kanak, ada keperluan mendesak untuk mengumpulkan lebih banyak data mengenai kesan jangka panjang pandemik kepada mereka, termasuk cara virus itu membahayakan kesihatan fizikal kanak-kanak yang telah dijangkiti, serta kesannya terhadap kesihatan emosi dan mental,” kata laporan itu.

"Kewujudan Covid-19 bergantung kepada cara rakyat Amerika mengamalkan langkah-langkah kesihatan awam yang telah terbukti dapat mengurangkan penyebaran virus iaitu penjarakkan fizikal, memakai pelitup muka, kawasan sesak, mencuci tangan, dan mendapatkan vaksin apabila ia tersedia," tambahnya.

AS pada Isnin memulakan pengagihan vaksin Covid-19 di seluruh negara. Setakat ini ia mendaftarkan lebih 16.7 juta kes dengan lebih 303,000 kematian, menurut data Johns Hopkins University. - Bernama

Artikel Berkaitan: