Pas batal hubungan dengan DAP

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan parti itu membatalkan hubungan dengan DAP kerana mereka telah menunjukkan permusuhan terhadap Islam dan mencabar kepimpinanya.

Katanya, Pas membuat keputusan mengikut kajian Majlis Syura Ulama dan pelaksanaan yang dibuat kepimpinan pusat berpandukan al-Quran dan sunnah.

Menurutnya, parti itu juga mendahulukan pendekatan bersama kumpulan Islam di pelbagai lapangan dan mengadakan tahaluf dan taawun dengan bukan Islam yang tidak bermusuh dengan agama tersebut.

"Begitu juga pemimpin dan ahli Pas yang meninggalkan parti kerana meletakkan perjuangannya di atas konsep yang salah dan sesat, tidak beristiqamah bersama Islam, melarikan diri daripada perjuangan Islam serta menunjukkan sikap wala' kepada mereka yang nyata bermusuh terhadap Islam dan umatnya.

"Sehingga segala matlamat menghalalkan segala caranya semata-mata mahu cepat mendapat kuasa dan kedudukan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada jun 2015, Muktamar Dewan Ulama Pas sebulat suara meluluskan usul tergempar iaitu membatalkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan DAP dan memutuskan hubungan dengan parti berkenaan.

Langkah tersebut diambil DAP sebagai rakan kerjasama politik Pas menerusi PR, secara rasmi memutuskan hubungan dengan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku ketua kepada parti itu.

Manakala pada 11 Mei 2017, Pas mengumumkan kerjasama politik atau tahaluf siyasi bersama PKR terputus serta-merta.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Majlis Syura Ulama , Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh, berkata keputusan itu diambil pucuk pimpinan parti selepas mendapati PKR melakukan banyak pelanggaran syarat tahaluf siyasi berdasarkan pertimbangan hukum syarak dan akhlak Islam.

Katanya, ia termasuk langkah PKR menentang sebahagian daripada agenda Islam yang diperjuangkan oleh PAS seperti usul meminda Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah ) 1965 (Akta 355).

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, nas-nas al-Quran, hadis dan ijmak ulamak menegaskan hubungan tahaluf serta taawun bergantung kepada ijtihad yang boleh berubah hukum harus atau haram berdasarkan kepada situasi serta sikap terhadap syarat-syaratnya.

"Adapun haramnya berwala' kepada bukan Islam, adalah nas yang nyata yang tidak diizinkan berijtihad.

"Maka lebih haram dan besar akibatnya melantik kepimpinan kerajaan yang berwala' kepada negara asing yang sangat bermusuh terhadap Islam dan penganutnya, serta mendukung falsafah politik pragmatik menenggelamkan Islam atau melemahkan kedudukannya," katanya.